" "
Motosikal

TUNGGANG UJI: ZONTES 350E, SKUTER MAXI SERBA LENGKAP, TAPI HARGA RAHMAH

Zontes Distribution[JC1]  (M) Sdn Bhd, syarikat di bawah Eurotech Wheel Distribution Sdn. Bhd., pengimport serta pengedar rasmi motosikal Zontes di Malaysia baru-baru ini membawa masuk skuter 350 series baharu iaitu Zontes 350D dan Zontes 350E.

Tidak lama selepas pelancarannya, team Mekanika diberi peluang untuk menunggang uji Zontes 350E selama beberapa hari.

Sekali pandang, Zontes 350E sememangnya hadir dengan rekaan yang anti-mainstream, elegan dan sporty. Tetapi secara keseluruhan, jentera itu memiliki ciri tipikal sebuah skuter maxi, yang besar serta panjang. 

Paling mencuri perhatian pastinya lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) dengan pencahayaan LED yang cukup terang, tiga di sebelah kiri dan kanan.

Lampu belakang juga tampil moden seperti yang kita boleh lihat pada model premium lain di pasaran. Lebih menarik lagi, ia dipadankan bersama lampu isyarat membelok jenis sequential.  Lebih menarik lagi, Zontes 350E dilengkapi penghadang angin yang boleh dilaras secara elektronik. 

Bagi penghadang angin, ketika menunggang di jalan tidak rata, terdapat sedikit bunyi gegaran. Namun ia bukanlah isu besar kerana Zontes mempunyai ruang serta peluang untuk menambah baik. 

Dari segi tunggangan, skuter ini menawarkan keselesaan hasil gabungan ruang kaki luas dan pelana yang begitu empuk. Kedudukan hendal yang agak rapat dengan tempat duduk membuatkan posisi tangan dan bahu kurang letih, terutama kalau menunggang dalam tempoh yang lama. 

Inilah antara sebab kenapa Zontes 350E sangat sesuai dijadikan sebuah jentera kembara jarak jauh. Bukan itu sahaja, ciri-ciri ditawarkan pada skuter maxi ini memberikan citarasa mewah. Antaranya ialah skrin TFT bersaiz 6.7 inci yang mempunyai empat pilihan paparan iaitu simplicity, race, street dan recreation. 

Semua kawalan skrin tersebut boleh dilakukan menerusi butang yang ada pada sebelah kanan hendal. Cuma, apa yang boleh kongsikan ialah aplikasinya agak kurang mesra pengguna. 

Maksudnya, anda memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri untuk mencari menu, memilih tetapan dan sebagainya. Tetapi, bukan semuanya tidak bagus, skrin itu boleh disambungkan dengan telefon pintar melalui Bluetooth, cuma anda perlu memuat naik satu aplikasi khas. 

Sebaik sahaja disambungkan, paparan pada telefon pintar dipaparkan pada skrin. Jadi, anda bolehlah menjawab panggilan atau menggunakan aplikasi navigasi seperti Waze, Google Maps dan sebagainya. 

Perkara lain saya suka tentang skuter ini ialah kapasiti tangki minyak16 liter yang membenarkan perjalanan sejauh 457km  untuk setiap tangki penuh. Jadi, penunggang tidak perlu kerap berhenti di stesen minyak. Namun begitu, ia masih bergantung kepada gaya tunggangan, kondisi jalan dan faktor-faktor lain. 

Kelengkapan lain yang ada termasuklah keyless control system 3.0. Kunci itu boleh dikendalikan dari jauh atau digunakan sebagai wrist band dan mampu berhubung dengan skuter walaupun bateri dikeluarkan.

Ciri-ciri kemudahan lain ialah dua port pengecasan USB Type A dan C, selain pemanas hendal dengan pelarasan suhu tiga peringkat. 

Tahukah anda bahawa Zontes 350E mempunyai tapak roda sepanjang lebih 1,500mm. Ini menjadikannya lebih besar jika dibandingkan dengan Yamaha XMax. Hasilnya, ia memberikan ruang simpanan di bawah pelana yang sangat besar. 

Anda boleh menyimpan sehingga dua topi keledar muka penuh tanpa sebarang masalah. Kalau masih belum cukup, beli sahaja kotak kargo tambahan. 

Sebelum terlupa, terdapat ciri paling cun untuk Zontes 350E iaitu anda tak perlu pening atau menukar bateri ke kedai sekiranya bateri ‘kong’. Ini kerana Zontes menyediakan kabel pengecasan yang boleh disambung melalui penghubung di ruang penyimpanan barang sebelah kanan di hadapan penunggang. 

Selain penghadang angin, hal lain saya kurang gemar adalah saiznya yang terlalu besar dan gemuk. Kalau terpaksa mencilok di dalam kesesakan jalan raya, ia memang memenatkan. Tetapi, apabila masuk sahaja ke lebuh raya inilah skuter maxi yang hampir sempurna. 

Dari segi suspensi, tetapannya cukup bagus kerana tidak terlalu lembut atau terlampau keras. Jadi, ketika menunggang di selekoh, skuter ini masih cukup stabil dan tidak membuai di atas permukaan jalan tidak rata.  

Aspek keselamatan penunggang ditingkatkan menerusi penggunaan brek ABS dua saluran dengan angkup J Juan pada roda hadapan dan belakang. Ciri keselamatan lain termasuklah kawalan cengkaman yang boleh ditutup serta pemerhati tekanan angin tayar (TPMS).

Kesimpulannya, dengan harga cukup Rahmah iaitu RM25,800, ia boleh menjadi pembelian berbaloi terutamanya jika mengambil kira teknologi yang ada pada Zontes 350E. 

GALERI

Google ads
Back to top button