Buletin

TURUNKAN LELAKI SEBERAT 300 KG GUNA KREN

Sebanyak kira-kira 50 anggota polis, petugas penyelamat dan doktor terlibat dalam operasi menyelamatkan seorang lelaki obes yang terperangkap di kediamannya di tingkat dua sebuah bangunan di Perpignan, selatan Perancis.

Lelaki berkenaan, Alain Panabiere, 53 dilaporkan memiliki berat badan sekitar 300 kg berjaya dibawa keluar dengan bantuan kren.

Peguam Jean Codognes ber­kata, anak guamnya itu terpe­rangkap di dalam rumah itu ‘sejak berbulan-bulan lalu selepas patah kaki’.

Sepanjang berada di kediaman itu, Panabiere dijaga dan diberi makan oleh abangnya, namun keadaan kesihatannya didapati kian merosot.

Pada Oktober lalu, Codognes mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin untuk meminta bantuan menyelamat.

“Operasi untuk menyelamatkan Panabiere sememangnya berisiko tinggi,” jelas Codognes.

Pada hari operasi dijalankan, polis meminta semua jiran me­ninggalkan rumah masing-ma­sing bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Pekerja yang terlibat dalam operasi sama bertindak meme­cahkan dinding luar rumah untuk membuka ruang bagi mengeluarkan Panabiere.

Panabiere diberikan tiub drip intravena (IV) sebelum di­masukkan ke dalam satu kotak besi yang digantung pada sebuah kren di luar bangunan itu.

Dia kemudiannya diturunkan secara perlahan-lahan dan dimasukkan ke dalam ambulans untuk dibawa ke hospital.

Panabiere kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di bandar Montpellier dan dilaporkan akan dipindahkan ke satu pusat rehabilitasi beberapa minggu lagi. – agensi

Google ads
Back to top button