Buletin

UMWT PAMER C-HR DI PUSAT KONVENSYEN SETIA ALAM HARI INI DAN ESOK

Ini adalah penampilan pertama Toyota C-HR di Malaysia. UMW Toyota hari ini membuat kejutan dengan mempamerkan satu unit model SUV segmen B mereka, Toyota C-HR di acara dengan nama yang paling panjang pernah kami dengar iaitu Carlist.my MAA Drive, Test & Buy Event 2017.

Ia adalah acara anjuran laman web jual-beli kereta tempatan carlist.my yang bertempat di Setia City Convention Centre, Setia Alam, Shah Alam. Karnival ini berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan esok.

Seperti yang pernah kami siarkan beberapa minggu lepas, berita kemasukan C-HR sudah mula kedengaran sejak awal tahun ini. Sumber kami mengesahkan bahawa model ini akan mula dipasarkan tahun hadapan, bermula dengan unit CBU yang dikatakan dari kilang di Thailand dan akan dipasangkan secara CKD di kilang baru mereka di Bukit Raja Klang.

BACA: TOYOTA C-HR KE PASARAN TEMPATAN TAHUN DEPAN

BACA: TOYOTA LANCAR C-HR UNTUK PASARAN JEPUN

Model yang dipamerkan ini datangnya dari kilang pemasangan Toyota dari Australia. ia adlah versi 1.2 turbo.

Bagi pengeluaran pertama C-HR akan datang, berkemungkinan besar datang dari kilang Toyota di Rayong, Thailand. Harga? juga belum dapat dimuktamadkan. Menurut sumber kami, Toyota akan meletakkan harganya lebih murah dari pesaingnya Mazda CX-3 tetapi dijual sedikit tinggi dari harga jualan Honda HR-V.

Pada hemat kami Toyota C-HR akan berada pada tangga harga sekitar RM120K hingga RM130K. Pada jangkaan kami, ia akan dijual sekitar RM125,000 bagi unit CKD.

Sebagai perbandingan di Jepun, Toyota menawarkan C-HR pada harga bermula 2.5 juta yen (RM97,000) bagi model 1.2 S-T dan 2.9 juta yen (RM112,000) untuk Hybrid G 1.8.

C-HR merupakan kenderaan kedua yang dibangunkan di atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) selepas Prius generasi keempat. TNGA menjadi sebahagian daripada   program Toyota untuk mengubah reka bentuk struktur kenderaannya.

SUV ini didatangkan dengan dua pilihan enjin. Pertama, enjin turbo 1.2 liter berkuasa 115PS dan tork 185Nm. Ia dipadankan dengan kotak gear Super CVT bersama tujuh kelajuan automatik dan pacuan empat roda (4WD). Rangkaian kuasa tersebut menawarkan penggunaan bahan api sekitar 15.4km/l.

Satu lagi enjin ialah empat silinder VVT-I Atkinson cycle bersesaran 1.8 liter yang mampu menawarkan penggunaan bahan api sehingga 30.2km bagi setiap liter petrol. Enjin itu kemudian digabungkan dengan kotak gear CVT, motor elektrik dan pacuan dua roda, sama seperti Prius.

Kami bertemu dengan wakil UMW Toyota untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pilihan model yang akan dipasarkan. Jelas, mereka tidak mahu mendedahkan apa-apa buat masa ini. Pemilihan varian belum diputuskan secara mutlak.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button