Modifikasi

MITSUBISHI EVOLUTION DARI SKUAD PANTAI TIMUR

Penghasilan enjin Sirius untuk siri 4G63, telah mengubah persepsi ramai terhadap jenama Mitsubishi. Kalau nak ikutkan, asalnya dibina untuk bersaing dalam perlumbaan rali. Dari SOHC jadi DOHC. Dari NA jadi turbo. Dari Galant pindah ke Lancer.

Dari tak ada MIVEC sampai ada. Malah ia juga merupakan enjin produksi pertama dari pengeluar Jepun yang menggabungkan teknologi EFI dengan sistem pendesak turbo. Ya, yang pertama kau…

Evolusi yang berlaku ke atas enjin ini sebenarnya cukup memberangsangkan. Tu pasal sampai 10 generasi Lancer, lekat dengan nama EVO. Di tangan tuner berpengalaman, ia berjaya ditingkatkan lagi pada nilai yang langsung tak masuk akal.

BACA: SATRIA BAJA MERAH KUASA EVO

Empat piston sebaris je kot, tapi yang buat sampai 1000 kuasa kuda pun ada. Itu cerita mesin sukan pecutlah. Kalau masih digunakan di hujung minggu, peningkatan kuasa sekali ganda seperti EVO VIII milik Nik ni mungkin boleh dipertimbangkan.

Agak lama jugak kami peram kereta dari bandar bauksit nih. Faham jelah, masa tu takde saluran yang sah untuk diketengahkan. Dari segi rupa, ia tampil dengan gaya yang cukup bersahaja, tanpa kesan khas yang nyata. Kami agak sebab warnanya. Kalau ditembak warna G-Shock Mat Moto, mungkin lain ceritanya.

Pengekalan kaler asal ini menyebabkan sebahagian komponen luaran yang dipasang nampak kurang menonjol. Padahal ada hood CF Varis, cermin sisi RalliArt, bonet dan spoiler belakang CF, serta bumper belakang EVO IX. Mujur rim SSR Type C dan tayar gemuk Yokohama R1 berukuran 235/45ZR-17, membantu menyelamatkan keadaan suram ini.

Seperti dijangka, bahagian dalaman juga tidak menerima perubahan yang ketara. Komponen penting seperti papan pemuka, tempat duduk, stereng dan keseluruhan panel, masih milik EVO VIII yang asal. Yang ada cuma tombol gear RalliArt, lampu Super Shift Pivot, pemasa enjin Apexi serta deretan 6 biji meter Defi di ruang tengah.

Cerita sebaliknya berlaku di bahagian enjin. Macam-macam toyol dah Nik masukkan bagi memberi kepuasan dalam dunia kelajuan. Selain penempatan rod penyambung dan piston 86.5mm Tomei, bahagian crankshaft juga telah dihantar untuk proses imbangan semula.

Enjin 4G63T EVO VIII belum menerima teknologi MIVEC ketika diperkenalkan. Tak mengapa lah, buat cara lain pun laju juga. Sebelum set camshaft Tomei dipasang, bahagian kepala silinder ini diberi kerja-kerja port & polish oleh Nasty Portflow.

Untuk sistem pendesak, unit sipot asal telah digantikan dengan turbo Garrett GT35 yang digantung pada manifold tanduk Tonnka. Bersamanya, disediakan wastegate Tial 44mm, intercooler Blitz, sambungan paip intercooler aloi, serta injap pelepas HKS Racing dan pengawal boost GReddy Profec B Spec II. Bagi menggalakkan kemasukan boost, unit throttle body dan manifold kemasukan menerima komponen jenis Skunk2 Pro Series yang lebih besar.

Bila semuanya besar, minyak pun kenalah besar jugak. Bermula dengan pam petrol Walbro 450, bekalan bahan api ini dipancitkan oleh set injektor FIC 1250cc. Campuran yang terbentuk, seterusnya diletuskan oleh palam pencucuh yang menerima kuasa dari set COP Spark Tech. Bagi mendapatkan mapping enjin yang tepat, ia kini ditala menggunakan unit EMS Link G4.

Sistem pacuan 4-roda merupakan kelebihan kepada semua varian EVO. Baru yakin nak main Genting. Namun untuk kereta ini, hantaran kuasanya jauh lebih padu hasil bantuan kotak gear manual 6-kelajuan dari EVO IX, termasuk penggunaan set klac Exedy Hyper jenis triple plate.

Jadi berapa yang Nik dapat lepas makan tahun mengadap muka pomen-pomennya? Kira-kira 560 kuda-kuda pada boost 2.0 bar dengan RON97. Boleh sangat dah tu. Kalau sanggup menadah Petron Blaze setiap minggu, mau tinggi lagi…

BACA: SIAPAKAH HERO SEBENAR? EVO ATAU IMPREZA?

GALERI

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button