
VAN BAWA WANG JUALAN MARIJUANA DIROMPAK. KERUGIAN DIANGGARKAN LEBIH RM590K!
Sekurang-kurangnya dua orang lelaki didakwa telah mencuri wang tunai jualan marijuana sebanyak AS$145,000 (RM590,000) daripada sebuah van ketika berada di stesen minyak.
Wang itu dikatakan hasil daripada beberapa pusat jualan marijuana di California. Memandangkan kerajaan Amerika Syarikat masih mengharamkan bahan tersebut, semua transaksinya dijalankan dalam bentuk tunai.
Polis Santa Ana telah mendedahkan rakaman video daripada stesen minyak dan meminta orang ramai untuk mengesan suspek.
Video itu menunjukkan selepas pemandu van masuk ke stesen minyak, suspek memecahkan tingkap bahagian penumpang menggunakan objek keras dan mengambil dua beg berisi wang tunai daripada konsol tengah. Dia kemudian masuk ke dalam sebuah Nissan Pathfinder dan melarikan diri.
Menurut polis, van itu berkunci ketika kejadian. Pemandu dikatakan tidak tahu van itu mempunyai peti besi, kaca cermin tahan pecah atau ciri-ciri keselamatan lain. Polis juga percaya pemandu yang membuat kutipan wang di sekitar Los Angeles dan Santa Ana itu tidak terlibat dalam jenayah tersebut.
“Dia mungkin sudah diekori dari LA. Adakah pencuri tahu rutinnya? Memang banyak persoalan yang timbul. Nampaknya mereka mencari peluang terbaik dan melakukannya dalam masa beberapa saat sahaja,” kata polis Santa Ana, Anthony Bertagna.
Masalah rompakan di pusat jualan marijuana sering berlaku. Ini kali pertama melibatkan wang yang diambil daripada van.