
VOGE FORMICA ROSSA 150 LAKU KERAS, LEBIH 5,000 TEMPAHAN DITERIMA
Voge Formica Rossa 150 (FR150) muncul antara model yang paling mencuri tumpuan ketika pelancaran rasmi di Malaysia Autoshow 2024, Mei lalu. Maka tidak hairanlah motosikal segmen ‘supermoped’ itu mengutip jumlah tempahan yang tinggi ketika ini.

Memetik laporan rakan media PanduLaju, MForce Bike Holdings telah pun menerima lebih 5,000 unit tempahan setakat ini. Difahamkan, pihak MForce bakal mengedar 1,300 unit pertama pada Julai ini.
Atas kertas, Voge FR150 dipacu enjin satu silinder 149.6cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 15.4hp dan 13.5Nm. Kami dimaklumkan enjin tersebut dibina menyerupai enjin Honda RS150 namun telah ditambah baik agar penyakit yang sering berlaku pada kapcai Honda itu tidak berlaku.

Seperti Honda RS150/RS-X, FR150 juga dipadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan namun dipertingkat dengan sistem klac slipper.

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:
- panel meter digital
- lampu LED dengan DRL (daytime running light)
- smartkey (keyless)
- port USB
- fork teleskopik dengan jarak pergerakan 83mm
- berat 123kg
- tangki bahan api 5.8L
- ABS dwi-saluran
Bagi pasaran tempatan, Voge FR150 ini dijual pada harga RM8,888.







