Modifikasi

WAJAH GANAS TOYOTA LAND CRUISER VX

Land Cruiser VX agak mudah ditemui di Malaysia Timur dan dikenali dengan nama ‘Ninja Turtle’. Menggunakan enjin turbo diesel, Land Cruiser menjadi pilihan towkey-towkey balak di sana sebagai kenderaan untuk memasuki kawasan balak dengan bergaya.

Casisnya yang tegap dan saiz besar membuatkan jentera ini amat sesuai dijadikan sebuah kenderaan off-road. Bagaimanapun, enjin diesel asalnya mestilah diganti dulu dengan enjin yang lebih berkuasa.

Jeffery telah memilih enjin 2JZ-GTE daripada half-cut Toyota Soarer. Enjin 3,000cc dengan pengecas turbo berkembar ni menjadi enjin yang bagus untuk ditingkatkan lagi prestasinya.

Dia kemudian melakukan kerja-kerja port dan polish pada enjin sebelum mengambil keputusan untuk menggantikan turbo berkembar asal dengan turbo jenis tunggal daripada Garret.

Turbin Garret dimasukkan ke dalam enjin dengan mengubah suai manifold turbo asal. Turbo ini disejukkan dengan intercooler jenis front mount HKS. Jeffery telah membina semua paip intercooler enjin secara custom daripada bahan keluli tahan karat. Di sini juga terletak sebuah injap blow-off GReddy Type-S.

Enjin yang kini menghasilkan anggaran 300hp ini ditala oleh ECU MicroTech yang membuatkan kenderaan pacuan empat roda itu mampu memecut macam kereta sports.

Bagi memastikan yang kereta ni mampu meredah lumpur dan mendaki bukit, enjin 2JZ tadi dipadankan dengan kotak gear pacuan empat roda asal Land Cruiser. Walaupun menggunakan kotak gear automatik, kotak gear itu masih mempunyai transfer gear yang memberikan pilihan gear tinggi dan gear rendah bergantung pada jenis permukaan bumi.

Setelah berpuas hati dengan ubah suai yang dilakukan terhadap enjin, Jeffery kemudian beralih kepada bahagian paling penting untuk sesebuah kenderaan off-road, suspensi. Bagi memastikan Land Cruiser ini mampu mengharung apa juga halangan, ia telah ditinggikan dengan kit body lift.

Semua penyerap hentak asal ditukar kepada penyerap hentak untuk kegunaan jalan lasak jenama King untuk bahagian depan dan Koni (belakang). Sistem gantungan asal yang menggunakan pegas gegelung banyak membantu dari segi pengendalian di atas jalan raya dan laluan berlumpur. Jeffery memilih satu set pegas gegelung Dobinson yang meninggikan lagi Land Cruiser ini.

Untuk meluncur di atas lumpur, tayar lebar dan berbunga tebal diperlukan. Ini penting bagi mengurangkan ground pressure yang dihasilkan oleh kenderaan, terutama untuk jentera yang agak berat ini. Berat kenderaan disebarkan ke tanah melalui tayar Maxxis Trepedor yang membalut rim aloi Raguna 16×10 inci.

Sebagai persediaan masuk hutan, Land Cruiser ini dibekalkan dengan bumper tube frame buatan Marshall. Sebuah snorkel buatan Safari dipasang bagi memberikannya keupayaan meredah air yang dalam.

Land Cruiser ini juga dibekalkan dengan sistem brek air lock ARB yang cukup penting bagi memastikan kenderaan tidak boleh bergerak walaupun ketika berhenti di kawasan curam.

Jeffery tidak lupa menambah winch buatan Warn pada bahagian hadapan dan belakang. Spotlight jenama Lightforce dipasang. Tak lengkap modifikasi kenderaan 4×4 kalau tak dilengkapi rak bumbung. Justeru, Jeffery memasang rak bumbung ARB yang boleh diakses dengan tangga buatan Inno.

Di bahagian dalam, Land Cruiser ni dilengkapi dengan meter-meter Defi yang lengkap bagi memberi bacaan operasi enjin. Set radio CB yang lengkap pula memastikan hubungan dengan dunia luar tidak terputus. Paling menarik ialah sepasang tempat duduk Recaro Tomcat.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button