YAMAHA PERJELAS STATUS SEBENAR YZF-R1
Baru-baru ini kecoh akan kenyataan salah seorang jurucakap Yamaha UK bahawa pengeluar motosikal Jepun itu akan menghentikan pengeluaran Yamaha R1/R1M untuk pasaran global.
Tampil menjawab laporan tersebut, Yamaha Racing mengeluarkan kenyataan berikut:
“Pengeluaran Yamaha R1 akan diteruskan di masa hadapan (dari 2025) termasuk program pembangunan jentera yang terlibat di Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK) dan Kejuaraan Dunia Endurance (EWC).
“Walaupun kehendak pemilik Yamaha telah berubah kebelakangan ini, R1 kekal sebagai pilihan popular terutamanya bagi individu yang mahu mempertingkatkan pengalaman di litar lumba.
“Oleh itu, bermula 2025, susulan daripada cabaran mencapai standard emisi Euro5+ di Eropah, Yamaha hanya akan menghasilkan R1 eksklusif untuk litar lumba sahaja seperti yang berlaku dengan YZF-R6.”
Berdasarkan kenyataan di atas, jelas membuktikan bahawa R1 hanya akan dihasilkan sebagai kegunaan di litar lumba sahaja dan tidak lagi dibenarkan untuk jalan raya selepas 2025.
Keputusan itu dibuat berdasarkan pelaksanaan Euro5+ yang lebih ketat bermula 2025.