QJMOTOR LTR150 KINI DI MALAYSIA – RM8,888
MForce Bike Holdings dengan rasminya memperkembangkan tawaran motosikal QJMOTOR d Malaysia dengan pelancaran skuter LTR150 yang dijual pada harga RM8,888.
Skuter LTR150 ini mencuri perhatian ekoran hadir dengan reka bentuk gaya retro serta pilihan warna unik yang terdiri dari Lime Creme, Sky Blue, Mint Green dan Carnation Pink.
Atas kertas, QJMOTOR LTR150 ini dipacu enjin satu silinder 149cc SOHC 4-valve yang menjana 16hp pada 8,500tpm dan 14.8Nm pada 6,500rpm. Kuasa pula disalurkan menerusi transmisi CVT.
Kelengkapan lain ditawarkan termasuk fork teleskopik depan dan rim 12-inci depan/belakang yang dipadankan bersama cakera 190mm depan dan 225mm belakang. Menariknya, skuter kompak ini hadir dengan ciri ABS dwi-saluran.
Keselesaan juga dipertingkat dengan tempat duduk yang lembut dan lebar manakala panel meter digital dan pencahayaan LED memastikan skuter ini praktikal untuk pengguna.
Ciri lain ditawarkan termasuk:
- lampu kecemasan
- idle stop
- port pengecas USB
- tangki 6.5L
Menurut MForce, setiap pembelian QJMOTOR LTR150 ini hadir dengan waranti dua tahun atau 20,000km (mana yang sampai dahulu).