
Ia satu tindakan mengejutkan, luarbiasa dan sukar diterjemahkan oleh ramai peminat MotoGP. Johann Zarco minggu lalu mengumumkan untuk berundur dari pasukan KTM meskipun kontraknya bersama pasukan itu masih berbaki setahun lagi.
Sebagai perbandingan, posisi Hafizh Syahrin dalam pasukan satelit KTM Tech3 jelas digantikan oleh Brad Binder dan secara teorinya Zarco berada dalam situasi yang “selamat” dan selesa untuk meneruskan kariernya.
Bekas pelumba Tech 3 Yamaha itu bergelut untuk menyesuaikan diri dengan KTM dalam 11 perlumbaan pertamanya dengan jentera RC16 tahun ini. Beliau kini menduduki tempat ke-17 dalam kejohanan tersebut.
Zarco berkata jika dia memilih meneruskan bersama KTM pada tahun 2020 tanpa mendapat keputusan yang lebih baik, bermaksud dia hanya akan berlumba untuk duit.
Apabila ditanya samada adakah beliau gagal dalam projeknya dengan KTM, Zarco berkata: “Mungkin ya, tetapi ia lebih dari itu. Jika saya meneruskan bersama KTM untuk tahun depan dan saya tidak mendapat keputusan yang lebih baik, saya bukan sahaja gagal dalam pasukan tetapi gagal dalam kerjaya saya secara keseluruhan.
“Itu adalah ketakutan saya yang paling besar. Lebih baik beri saya peluang lakukan perkara lain tahun depan daripada menunggu satu tahun lagi bersama KTM.
“Saya katakan kepada KTM, jujur, jika saya hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat ke-15 bermaksud saya hanya melengkapkan tugas sebagai pelumba. Itu juga bermakna saya hanya berlumba untuk wang anda. Saya tak mahu berbuat demikian. Mungkin untuk 10 tahun lagi tahun, tetapi tidak sekarang.
BACA: BERAPAKAH GAJI SEORANG PELUMBA MOTOGP?
“Saya bercakap dengan orang-orang di sekeliling saya, Jean-Michel (Bayle, jurulatih), tetapi semua orang memberitahu bahawa kami tidak boleh memilih untuk anda.
“Jika anda berfikir secara logik, anda mempunyai pilihan samada untuk meneruskan MotoGP tahun depan, mempunyai gaji yang baik atau tiada pilihan langsung. Mana yang anda pilih?
“Secara logiknya anda pilih untuk kekal.
“Baiklah, saya tidak mempunyai sebarang pilihan, saya teruskan dalam MotoGP, tetapi saya berasa teruk jadi saya katakan tidak. Saya terpaksa akui yang saya tidak boleh, bukan ini cara yang saya mahu berlumba.”
Zarco menegaskan bahawa dia akan terus memberikan yang terbaik untuk sepanjang musim ini.
“Dalam MotoGP, anda tidak boleh pergi separuh jalan, anda perlu memberikan segala-galanya atau jika tidak, jangan berlumba langsung,” katanya.
“Ia adalah cara saya dan saya telah memberikan segala-galanya dari awal tahun ini.
“Sebagai seorang pelumba profesional, saya akan memberikan yang terbaik dan jika saya mahu berada di atas jentera, saya akan memberikan yang terbaik, ia adalah sifat saya.