Modifikasi

PATIN EVO SEVEN

Walaupun baru 2 tahun memperkenalkan model Evo VI, Mitsubishi terpaksa akur dengan peraturan FIA yang mengkehendaki mereka menghasilkan sebuah model baru untuk kejohanan rali dunia tanpa mengikut peraturan homologasi.

Maksudnya ia bukan lagi model edisi terhad seperti generasi Evo sebelum ini, tapi sebuah kereta produksi massa yang boleh dimiliki ramai.

Itu sebahagian cerita jelah. Nak cerita semua sampai esok pun tak habis. Apa yang pasti, kemunculan model Evo VII memberi lembaran baru kepada corak milikan sedan berprestasi. Bukan takat sesuai bawak famili bersiar-siar, tapi turut memiliki enjin yang boleh dilajukan.

Kereta ini ditemui secara tak sengaja sewaktu lawatan ringkas ke Bandar Ikan Patin tempohari. Pemiliknya Fiereus, mulanya cuma datang tinjau-tinjau ajer. Tapi bila melihat senarai tingkat taraf yang telah dilakukan, elok juga kalau terus kita kongsikan di sini.

Tengok pada luaran, kereta ini tidak lagi menggayakan rupanya sebagai sebuah Evo VII, tapi mengenakan campuran kit badan dari model selepasnya. Ikut selera mata. Depan pakai bumper Evo VIII dengan lampu Evo IX.

Manakala belakang menggunakan kompenen Evo IX sepenuhnya. Sebagai penyeri majlis, beberapa komponen gentian karbon boleh dilihat di sana-sini seperti pada lip depan, fender, hood depan Voltex, cermin sisi RalliArt, juga spoiler versi Evo VIII MR.

Sistem suspensi asal memang dah okey, tapi tinggi melangitlah pulak. Sebagai penyelesaian, ia telah digantikan dengan set suspensi boleh laras jenis Tein Monoflex. Untuk mengisi ruang rodanya, rim P1 Racing berukuran 17-inci telah dipilih dan dipadankan bersama tayar Continental bersaiz 245/45ZR-17.

Peningkatan di bahagian enjin juga tidak kurang hebatnya. Sebagai langkah naik taraf, ia kini dilengkapi beberapa komponen yang bersesuaian, seperti penempatan set piston 86mm, galas enjin King Bearing, serta camshaft HKS 280° dan cam gear HKS di bahagian kepala silinder.

Memastikan sistem pendesak mampu menjana kuasa yang optimum, unit turbo Garrett GT35 yang digunakan kini digantung pada sebuah manifold turbo kustom bersama wastegate Tial 38mm.

Proses sejukan boost dibantu intercooler GReddy, termasuk binaan paip sambungan kustom. Sebaik throttle body ditutup, lebihan boost yang diselia unit pengawal boost M7 EBC-R akan dilepas keluar menerusi injap pelepas ARC.  

Keperluan bahan api dihantar oleh pam petrol Walbro 450. Ia ditembak menggunakan set injector Sard 700cc, sambil dikawal regulator Works Engineering. Untuk kuasa letusan yang sempurna, unit ECU kini ditala menggunakan perisian Link G4 Plug-In. Baru boleh main joget singa!


Kereta ini memiliki sistem hantaran kuasa yang jauh lebih pintar berbanding model sebelumnya. Untuk tujuan naik taraf, ia telah diperkemas semula menerusi pemasangan set klac plet berkembar dari OS Giken.

Bagi melunaskan sisa pembakaran, keseluruhan sistem ekzos telah dibina semula menggunakan paip kustom sebesar 3-inci serta padanan muffler Apexi N1 di hujungnya.

Sudut dalaman masih kekal asal, kecuali penempatan beberapa komponen penting yang bersesuaian. Antaranya panel meter dan konsol gear karbon fiber dari RalliArt, serta meter utama Evo IX. Sementara aspek pemantauan pulak datang dari 6 meter Defi, yang ditempatkan di ruang tengah dashboard.

Tengok tak tengok belakang kira, janji penuh meja…

Spesifikasi

Pemilik                        Fiereus (Man)

Pengeluar                    Mitsubishi

Model                          Lancer Evo VII

Tahun                          2001

Enjin asal                    4G63T

Modifikasi Enjin         Piston 86mm, galas enjin King Bearing, camshaft HKS 280°, cam gear HKS, turbo Garrett GT35, manifold turbo kustom, wastegate Tial 38mm, intercooler GReddy, paip intercooler kustom, injap pelepas ARC, pengawal boost M7 EBC-R, pam petrol Walbro 450, injector Sard 700cc, regulator Works Engineering, ECU Link G4 Plug-In, radiator Cool Max

Transmisi                    Manual, klac plet berkembar OS Giken

Ekzos                          Paip kustom 3-inci, muffler Apexi N1

Luaran                         Bumper depan Evo VIII, set lampu & bumper belakang Evo IX, lip depan, fender, hood depan Voltex, cermin sisi RalliArt & spoiler Evo VIII MR gentian karbon

Suspensi                      Tein Monoflex

Brek                            Brembo

Rim & Tayar               Continental bersaiz 245/45ZR-17

Dalaman                      Panel meter & konsul gear karbon fiber RalliArt, meter utama Evo IX, meter Defi, pemasa enjin Apexi

Bengkel                       ABC Garage, Temerloh

-PAK MAUN-

KREDIT: KAKIKERETA.COM

BACA: ADAKAH INI EVO 11?
BACA: SATRIA GTi SANG NILA UTAMA
BACA: CADANGAN MODIFIKASI PROTON WIRA
BACA: SATRIA GTi, HERO MALAYA SEBENAR!
BACA: PROTON PUTRA KUASA MIVEC

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button