
PROTON X50 JALANI PANDU UJI DI INDIA – BAKAL BERSAING DENGAN KIA SELTOS, HYUNDAI CRETA DI INDIA
Media asal India baru-baru ini melaporkan bahawa Proton X50 bakal diperkenalkan di negara tersebut.
Menguatkan lagi perkhabaran berkenaan, Proton X50 dilihat sedang dipandu uji di lebuh raya Pune-Nashik di Maharashtra, India.
Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan ia hanya menjalankan kajian kebolehlaksanaan model X50 kerana pasaran India serta Asia Tenggara adalah serupa dalam keperluan tertentu, yang menjadikannya ideal untuk menguji kereta di India.

Sama seperti Asia Tenggara, model SUV sememangnya laku keras di negara berkenaan, di tambah pula dengan kemasukan model dari Kia, iaitu Seltos serta Hyundai Creta.
Dari segi penggayaan, X50 menampilkan reka bentuk luaran yang agresif. Bahagian hadapan diserlahkan dengan gril radiator infinite weave yang diapit oleh sepasang lampu utama LED nipis.
Bahagian sisi pula menonjolkan elemen pergerakan dan emosi melalui garis badan harmoni. Bahagian belakang diserikan dengan sepasang lampu tiga bersama rekaan tiga garisan. Di samping penggunaan dua tip ekzos agar SUV ini nampak lebih sporty.
Sementara, ruang kabin menerima kemasan dua tona dan penggunaan material berkualiti tinggi manakala maklumat pemanduan dipaparkan pada skrin infohibur dengan sistem ketersambungan GKUI 19 terkini yang lebih lancar.
Di Malaysia, SUV kompak tersebut hadir dalam enjin 1.5 liter turbo berkuasa 148hp dan dipadankan bersama kotak gear klac berkembar 7 kelajuan.
Sekiranya Proton X50 dilancarkan di India, ia bakal bersaing dengan Maruti Suzuki Grand Vitara, Toyota Urban Cruiser Hyryder, dan Honda Elevate.