ADA APA DENGAN NAP?
Kalau tidak ada aral melintang, Dasar Automotif Nasional (NAP) ketiga akan diumumkan pada 15 Januari 2014. Itu pun kalau ia tidak ditangguh pula ke tarikh yang lain.
Pengumuman NAP sememangnya ditunggu-tunggu kerana ia bakal mencorakkan hala tuju industri automotif negara untuk dekad yang akan datang. Ini perkara besar dan melibatkan banyak pihak. Daripada aspek pendapatan/kreadibiliti kerajaan, kelangsungan perniagaan pengeluar kereta, hinggalah kepada kita semua sebagai pengguna.
Saya secara peribadinya, tidak mengharapkan dengan pengumuman NAP ini, harga kereta akan turun. Sebab ia tidak akan berlaku. Sekurang-kurangnya untuk masa terdekat ini.
Apa yang dimahukan oleh semua pihak ialah satu polisi yang jelas. Bukan sentuh sini sikit, sana sikit. Tetapi apabila ditanya atau diminta untuk dijelaskan, bagi macam-macam jawapan yang kurang logik.
Apabila NAP kedua diumumkan pada 2009, ia mendapat kritikan yang bukan sedikit daripada rakyat Malaysia. Misalnya, PEKEMA (tiada lagi AP selepas 2015), pengilang, pemendekan jangka hayat kereta dan termasuklah idea gila memberhentikan pengimportan alat ganti terpakai (half-cut).
NAP itulah yang menjadi buah mulut sampai ke hari ini dan enaknya hanya atas kertas. Mungkin idea yang boleh pakai hanyalah penghapusan duti import pada kenderaan hibrid. Selebihnya, teori-teori yang matlamatnya tidak tahu ke mana.
Disebabkan oleh isu-isu yang tidak terjawab ini, ramai pihak mahu tahu apa yang bakal dihidangkan untuk industri. Sila sedar kawan-kawan sekalian, walaupun NAP secara langsungnya disasarkan pada industri, sedikit sebanyak kita sebagai pengguna akan menerima tempiasnya.
Dunia hari ini sudah berubah. Pasaran semakit sengit dan semua negara berlumba-lumba untuk menjadi hub automotif dengan pelbagai idea yang diketengahkan demi menarik minat pelabur.
Maaf cakaplah, tapi selama ini kerajaan memang lena. Tengok saja Thailand dengan polisi lima tahun mereka. Thailand Automotive Master plan 2002-2006 di bawah bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra nyata berjaya menarik pelaburan daripada pengeluar kenderaan yang bukan sedikit.
Daripada hanya bertindak sebagai pemasang, Thailand kini adalah hub penyelidikan dan pembangunan (R&D) penting bagi banyak syarikat utama. Tidak percaya? Boleh tanya kepada Isuzu, Bridgestone dan sayap pembangunan Toyota.
Kalau dulu implementasi kawasan perdagangan bebas (Free Trade Area) hanya berkisar di antara negara serantau, kini negara dunia pertama pun sudah memulakannya.
Trans-Pacific Partnership (TPP) adalah contoh bagaimana negara konsumer merentas Pasifik ingin menjalinkan kerjasama terus dengan negara produksi. Setakat ini, TPP merangkumi sembilan negara yang terdiri daripada Australia, Brunei, Chile, Malaysia, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam, Amerika Syarikat dan Jepun.
Jepun pun tidak lagi menjadi pengesport utama. Daripada 9.3 juta kenderaan yang dihasilkan pada tahun 2011, hanya 4.6 dieksport ke luar. Putaran eksport kenderaan penumpang dan trak ini datang daripada komponen pengilang di seluruh dunia. Seperti yang kita ketahui, Thailand berada di tempat teratas bagi negara Asia. Wajib tahu bahawa jolokan ‘Detroit of Asia’ itu bukan lagi benda lucu ya.
NAP tahun 2009 memang langkah yang sumbang. Kita kita amat memerlukan struktur baru untuk NAP ketiga. Malah, saya sangat berharap kita ada sesuatu yang kukuh untuk diumumkan.
Berbeza dengan NAP sebelumnya yang didraf oleh MITI, NAP ketiga dibincangkan oleh Malaysia Automotive Institute (MAI). Sehingga sekarang, kita tidak tahu apa idea yang akan diketengahkan. Saya cuma berdoa, ideanya benar-benar bijak dan mengambil kira kepentingan semua pihak dalam industri. Daripada pelabur, pengilang, penjual, hingga pengguna.
Kita tidak payah berharap untuk bersaing dengan Thailand. Apa yang perlu ialah fokus terhadap matlamat. Jelasnya, kita mahu jadi pasaran kereta ‘hijau’. Cuma fokusnya bagaimana? Hibrid? Hijau bukan setakat hibrid, ia perlu diperluaskan kepada asas produksi, rangkaian pasaran dan edaran hingga kepada teknologi hiliran.
Teknologi hijau juga tidak harus berkisar pada hibrid. Ada banyak lagi yang boleh dikembangkan seperti kereta elektrik (EV), pengkelasan kenderaan gas asli (CNG), malah enjin pembakaran dalaman (ICE) yang cekap dan mengeluarkan emisi rendah.
Diesel berkualiti tinggi jangan pula dilupakan. Setakat ini, tidak ada sasaran khusus bilakah bilakah Malaysia akan mendapat diesel Euro 4 sekurang-kurangnya.
Saya pernah menyentuh bab alat ganti terpakai dengan begitu serius. Ini bukanlah perkara yang kita hendak dengar ketika pendapatan bulanan terasa semakin kecil dan harga barangan melambung tinggi.
Industri alat ganti terpakai merupakan nadi kepada masyarakat kelas bawahan dan pertengahan. Teori alat ganti terpakai memang sedap dilihat di atas kertas. Kurangnya bahan guna semula, rendah pencemaran, peningkatan jualan kenderaan baru yang lebih mesra alam bla bla bla.. cakap memang senang. Tapi realitinya, berapa ramai yang mampu nak beli stereng rack baru berharga RM5,000? Cuba bagitau.
Kalau nak cerita pasal NAP, sampai pagi esok belum tentu habis. Sebab ia melibatkan satu rantaian industri yang panjang. Jadi, cukuplah jika pembuat dasar faham betul perkara yang asas-asas itu terlebih dahulu.