Motosikal

ADAKAH ROSSI PERLU YAMAHA BERENJIN V4 UNTUK MENANG?

Jentera-jentera V4 Ducati dan Honda sudahpun membuktikan kehebatan mereka dengan memenangi 22 pusingan perlumbaan MotoGP yang lepas. Mungkin kini sudah tiba masanya untuk Yamaha mengikut jejak langkah yang sama dan berhijrah dari enjin sebaris empat yang digunakan sekarang.

Itulah yang diperkatakan sendiri oleh Rossi selepas perlumbaan Ahad lepas di mana beliau sekadar berada di tempat ketujuh di hadapan penonton sendiri. Juara dunia tujuh kali tersebut menyatakan yang Ducati dan Honda masing-masing menggunakan jentera dengan enjin V4 dan mungkin itulah rahsia kejayaan mereka.

Tapi betulkah enjin V4 M1 akan mampu membawa Rossi dan Yamaha ke pentas kemenangan semula? Dengan kata lain benarkah enjin V4 lebih baik dari enjin yang mereka gunakan sekarang?

Ia bergantung kepada sudut pandangan anda. V4 telah memenangi 22 perlumbaan tapi belum tentu ia adalah lebih baik dari enjin sebaris empat. Mungkin juga Ducati dan Yamaha telah berjaya menaiktaraf sistem elektronik dan dalaman enjin lebih baik dari Yamaha. Mungkin juga kan?

Kebanyakan jurutera MotoGP berpendapat yang masing-masing enjin V4 dan sebaris empat mempunyai kelebihan dan juga kekurangan. Semuanya perlu diberi perhatian dalam dunia perlumbaan. Kelebihan mesti mengatasi kekurangan.

Enjin sebaris empat adalah lebih kompak dan memudahkan jurutera casis mengatur kedudukannya sekaligus mengurangkan bebanan. Inilah juga kenapa Yamaha M1 merupakan jentera MotoGP dengan kawalan terbaik selama hampir sedekad setengah.

Hanya beberapa tahun lepas enjin V4 yang menjadi kebanggaan Ducati menampakkan kehebatannya. Enjin ini sebenarnya terlalu panjang berbanding enjin sebaris empat sekaligus membuatkan jentera Desmosedici ini mengalami masalah stereng dan kawalan. Sama seperti Honda, mereka kemudian mengundurkan sedikit posisi enjin pada casis untuk menyelesaikan masalah. Namun ia sedikit pun tidak mampu menggugat kelajuan M1 di selekoh.

BACA: SUDAH JATUH DTIMPA TANGGA. FIM MUNGKIN BATALKAN LESEN PERLUMBAAN FENATI

Masalah lain pula ialah enjin sebaris empat adalah agak lebar dan ia juga merupakan kekurangannya yang terbesar. Aci sesondol yang lebih panjang membuatkan motosikal ini susah membelok.

Masalah sekarang mungkin timbul akibat dan perisian sistem kawalan MotoGP dan tayar Michelin yang menjadikan tugas melaraskan motosikal menjadi semakin sukar. Ini juga mungkin menjadi faktor kepada kegagalan Yamaha menyerlahkan kehebatan mereka seperti musim 2015 di mana mereka berjaya memenangi 11 perlumbaan dalam semusim. Kini mereka hanya mencatat 10 kemenangan dalam 2 musim setengah perlumbaan.

Sejak dari musim lepas juga Rossi dan rakan sepasukan, Maverick Vinales menyalahkan satu faktor kepada kegagalan jentera M1 mereka: tetapan perisian. Seperti kami katakan tadi, jentera M1 adalah lebih laju dari Ducati mahupun Honda di selekoh dan ini dibuktikan di litar Silverstone yang mana litar ini lebih mementingkan kawalan dan bukannya kelajuan di garisan lurus. Ia sekaligus membuktikan yang enjin sebaris empat masih mempunyai kelebihan tersendiri berbanding enjin V4.

Rasanya banyak lagi faktor lain yang mempengaruhi kejayaan sesorang pelumba dan motosikal mereka dan bukannya hanya format enjin yang digunakan. Yang penting pihak pengeluar melakukan penyelidikan dan belajar dari kesilapan lampau jika ingin berjaya. Input dan rungutan pelumba juga mesti diberi perhatian sewajarnya kerana mereka yang akan berlumba dan bukannya para jurutera ataupun CEO syarikat.

Malah jika Yamaha dan Suzuki bertukar kepada enjin V4, mereka mungkin akan menggugat pemasaran model jalanan popular mereka iaitu R1 dan GSX-R.

Kredit Motorsportmagazines.com

Google ads
Back to top button