Artikel Pilihan

ALKISAH NICOLAS HAMILTON DAN SAINGAN UK CLIO CUP

Seorang pemuda kelahiran Britain, Nicolas Hamilton yang berusia 25 tahun mengimpikan permulaan yang baik bagi penyertaan beliau dalam saingan UK Clio Cup bagi musim 2018 ini. Malah Nicolas berasa yakin untuk sentiasa berada di barisan hadapan sewaktu beliau mengharungi sesi ujian pra musim di litar Brands Hatch baru-baru ini.

BACA : CLIO RENAULT SPORT KINI DENGAN PILIHAN BLACK EDITION – DARI RM 115K SAHAJA

BACA : GUS BURTON – REMAJA YANG BERLUMBA UNTUK KUMPUL DANA KEBAJIKAN

Nicolas Hamilton, bakal menyertai semula pasukan WDE Motorsport setelah menjalani ujian lima perlumbaan untuk dengan pasukan yang sama pada musim lalu.

Dilahirkan dengan Celebral Palsy, Nicolas adalah duta dan menjadi sumber inspirasi kepada mana-mana atlit kelainan upaya dan Nicolas telah membuktikannya dengan berlumba dalam Clio Cup. Apa yang menariknya, jentera Nicolas ini telah mengalami beberapa pengubahsuaian ringan pada padel dan penggunaan klac tangan untuk disesuaikan dengan beliau.

Oh ya, untuk yang berasa sedikit curiga tentang nama Hamilton itu, benar. Nicolas ini adalah adik kepada jaguh F1, Lewis Hamilton. Menurut Nicolas, beliau berasa teruja kerana dapat kembali beraksi bersama pasukan WDE Motorsport.

Rasanya, membawa nama keluarga Hamilton itu cukup besar buat Nicolas di pentas Clio Cup. Dan barangkali disebabkan itu, isu penajaan tidaklah begitu sukar. Jentera Nicolas ini dilekatkan dengan pelekat JET Petroleum selaku penaja utama disamping Monster Energy, DUO Pls, BigChange Apps, Ark Build Plc dan juga Ark MEP Plc.

Nicolas berkata, “Warna kuning ini adalah antara warna menyerlah apabila ditonton di kaca TV. Saya cuma perlu berada di hadapan. Itu sahaja!”.

Menurut Prinsipal pasukan, Wayne Eason beliau gembira kerana Nicolas menyertai pasukannya pada musim 2018 ini. Walaupun mungkin ada cakap-cakap belakang Makcik Bawang yang mengatakan mentang-mentanglah Nicolas ini adik kepada Lewis Hamilton, bolehlah kan.

Tetapi menurut Wayne lagi, sebenarnya Nicolas telah bekerja keras dan layak untuk beraksi. Malah Nicolas kelihatan sangat dahagakan kejayaan. Malah Wayne juga yakin bahawa Nicolas akan memainkan peranan penting dan menghasilkan keputusan yang bagus.

Penyertaan Nicolas dalam perlumbaan yang mempunyai skala yang agak besar juga ini, sudah pasti memberikan inspirasi yang bukan kepalang kepada ramai lagi insan istimewa di luar sana. Kekurangan diri bukan lagi alasan.

Perlumbaan UK Clio Cup bakal bermula dengan dua pusingan awal pada April nanti. Keseluruhannya perlumbaan ini bakal mempunyai 18 pusingan yang bakal berlangsung bersekali dengan Bristish Touring Car Championship.

 

Google ads
Back to top button