Pandu Uji

Audi A6 Hybrid – RM280,000 sahaja!

Pengecualian cukai terhadap kereta hibrid oleh kerajaan membolehkan jentera mewah daripada Audi ini ditawarkan pada harga yang sangat kompetitif. 

Pernahkah anda terfikir, di Malaysia yang harga keretanya memang mahal kerana cukai dan duti eksaisnya kini ada menawarkan sebuah keret mewah di bawah takat harga RM300,000?

Kini, perkara itu bukan lagi satu angan-angan apabila pengedar kenderaan Audi di Malaysia, Euromobil Sdn. Bhd. (Euromobil) memperkenalkan Audi A6 Hybrid pada harga RM280,000 (di atas jalan tanpa insurans).

Audi-A6-Hybrid-3

Harga itu boleh dianggap murah kerana Audi A6 adalah sekelas dengan sedan ekesekutif lain sperti Mercedes-Benz E-Class dan BMW 5 Series. Walaupun harga sebegini bukan untuk semua orang, tetapi sekurang-kurangnya lebih ramai mampu untuk memiliki kereta yang peka terhadap alam sekitar.

Pengarah Urusan dan Pengerusi Euromobil, Datuk Seri Khamil Jamil mmenyatakan pihaknya berharap pengenalan Audi A6 Hybrid mampuy membantu menggalakkan implementasi teknologi hijau dalam industri automotif tempatan.

Sebenarnya, Audi merupakan antara pengeluar yang terawal menghasilkan model hibrid di Eropah menerusi model Audi A4 Duo III. Jentera itu menggabungkan enjin diesel 1.9 liter TDI dengan sebuah motor elektrik. Tetapi, disebabkan oleh kos produksi yang tinggi, hanya sekitar 100 unit Audi A4 Duo III berjaya dihasilkan  sehingga awal tahun 2011.

Itu cerita lama. Audi kembali tampil dengan model dan A8 Hybrid pada Geneva Motor Show 2012. Produksi model A6 Hybrid kemudian turut dilakukan pada tahun yang sama. Harus tahu bahawa Audi A6 Hybrid ialah model hibrid pertama Audi di Malaysia. Lebih menarik lagi, harganya kurang RM60,000 berbanding Audi A6 versi petrol.

Audi-A6-Hybrid-4

Audi A6 Hybrid dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter TFSI yang dipadankan bersama satu unit motor elektrik. Gabungan rangkaian kuasa hibrid itu berupaya menghasilkan kuasa maksimum 245bhp dan tork puncak 480Nm.  Dengan angka sebegitu, prestasinya ibarat datang daripada enjin enam silinder.

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda hadapan menerusi kotak gear automatik tiptronik lapan kelajuan. Kelajuan maksimumnya dihadkan pada 240 kilometer sejam (km/j).

Penggunaan bahan api, Audi mendakwa jentera itu hanya memerlukan 6.2 liter petrol untuk setiap 100km. Emisi yang dicatatkan pula adalah sebanyak 145 gram untuk setiap km. Jika anda menekan butang EV mod pada konsol tengah, Audi A6 boleh bergerak sejauh 3km pada kelajuan 60 km/j dengan menggunakan kuasa bateri sepenuhnya. Namun, sekiranya kelajuan mencecah 100km/j, enjin petrol akan beroperasi seperti biasa.

Prestasi lain yang harus anda tahu ialah Audi A6 mampu memecut daripada 0 hingga 100km/j dalam tempoh 7.5 saat. Antara faktor yang menyumbang kepada angka tersebut ialah tubuhnya yang 30 peratus daripadanya diperbuat daripada aluminium dan hanya seberat 1,85 tan.

Bekalan kuasa motor elektrik diterima daripada pek bateri lithium-ion yang disimpan di dalam but. Hasilnya, pek bateri seberat 38 kilogram (kg) itu mengurangkan kapasiti ruang but kepada 375 liter berbanding 530 liter pada model A6 petrol standard.

Audi-A6-Hybrid-6

Sekali pandang, penampilan luaran dan dalaman model itu tidak jauh beza dengan sebuah Audi A6 versi petrol. Selain emblem, perbezaan paling ketara ialah lampu hadapannya yang menggunakan lampu LED, rim aloi dengan rekaan seperti turbin bersaiz 18 inci dan warna perak (Arctic Silver) yang eksklusif untuk model hibrid.

Audi A6 Hybrid ditawarkan dengan jaminan selama empat tahun (termasuk bateri lithium-ion) dan perbatuan tanpa had untuk dua tahun pertama. Sebelum dihadkan kepada 120,000km untuk tahun ketiga dan keempat pemilikannya.

Audi-A6-Hybrid-7

Ketua Pegawai Eksekutif Euromobil, Stanley Tan mengunjurkan jualan sebanyak 1,000 unit Audi A6 Hybrid bagi tahun ini. Tetapi jelas bahawa sasaran konservatif itu tidak sukar untuk dicapai.

Ini kerana dalam tempoh sehari sebelum prebiu untuk media diadakan, tempahan sudah mencapai 200 unit. Ada yang menyatakan bahawa tempahan A6 Hybrid kini sudah mencecah lebih 500 unit.

[hr top]

Gallery

[hr_invisible]

Audi-A6-Hybrid-5Audi-A6-Hybrid-8Audi-A6-Hybrid-9Audi-A6-Hybrid-10Audi-A6-Hybrid-11Audi-A6-Hybrid-12Audi-A6-Hybrid-13Audi-A6-Hybrid-14Audi-A6-Hybrid-15Audi-A6-Hybrid-16Audi-A6-Hybrid-17Audi-A6-Hybrid-18

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button