Artikel Pilihan

SIMBOLIK CINTA PORSCHE; SEBUAH KELUARGA DAN LAGENDA RWB AKIRA NAKAI

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama saya menonton video kronologi pembikinan sebuah Porsche oleh Akira Nakai – RWB. Ada banyak yang boleh anda semak di laman web seperti Youtube dan Vimeo. Tetapi tak tahu kenapa, ini sangat berbeza kerana cara cerita diolah, cara kereta dipersembahkan dan plot disebaliknya yang cukup bermakna untuk dikongsi bersama.

Mungkin ramai di luar sana tak pernah dengar tentang RWB atau Rauh Welt Begriff. Oh Tidak. Ia bukan syarikat dari Jerman walaupun kendengarannya begitu. Ia adalah syarikat tuner dari Jepun yang tersohor dalam mengubahsuai kereta-kereta Porsche 90-an terutamanya model 930, 993 dan 964. Beliau menjadi sangat terkenal kerana idea gilanya “melebarkan” badan kereta yang paling disayangi di kalangan peminat Porsche.

RWB porsche (1)

Berbeza dengan penala lain dari Jepun yang membuat konsep hampir sama seperti Liberty Walk, Rocket Bunny, Ben Sopra dan nama-nama otai seperti Top Secret Smokey Nagata dan Veilside, Nakai San bermula lewat pada tahun 90-an. Beliau asalnya “bermain” dengan AE86 sehinggalah mendapat idea untuk mengubahsuai Porsche 930 yang diperbaiki selepas kemalangan. Sejak hari itu, nama RWB bermain di bibir pencinta automotif seluruh dunia.

Menjadikan kereta sentuhannya lebih unik ialah setiap unit yang dibina adalah menggunakan tangannya sendiri. Beliau terbang ke serata dunia untuk menyiapkan kereta pelanggannya dan purata sebuah kereta boleh disiapkan dalam tempoh 3 hingga 5 hari.

RWB porsche (1)

Ini bukanlah aksesori biasa yang anda boleh beli di kedai alat prestasi tinggi di Sunway. RWB mempunyai nilai estetik tersendiri di mana setiap pelanggannya mendapat lebih dari sekadar produk. Nakai San akan lazimnya meminta profil kenderaan, konsep dan akhirnya akan menawarkan ideanya.

Kesemua peralatan yang diperlukan disediakan terlebih dahulu seperti kit badan, fender flare, spoiler, rim dan tayar, warna malah pelekat kereta juga disiapkan di garaj beliau di Tokyo sebelum diterbangkan ke lokasi pelanggan.

RWB porsche (5)

Porsche 993 milik Ben Harmony ini adalah yang pertama seumpamanya dibuat di Philadelphia, Amerika Syarikat. Baru berusia 22 tahun, anak muda ini memohon kepada Nakai supaya kereta ini dipasang dirumahnya, sesuatu yang belum pernah dibuat oleh Nakai San!

Proses pemasangan keseluruhan mengambil masa 3 hari sambil disaksikan oleh ibu dan ayah Ben. Kebetulan memiliki minat yang sama dengan anaknya, bapa dan ibunya memberi sokongan penuh terhadap hobi anaknya. Sewaktu muda, bapa Ben, Kenny berkongsi minat yang sama dengan isterinya dengan kereta-kereta muscle Amerika seperti Mustang dan Camaro.

RWB porsche (4)

Video ini telah dirakamkan oleh kru Krispy Media dan kami di sini berpendapat, ia adalah video pembikinan terbaik yang pernah dibuat untuk projek RWB. Saya kira, anda yang bukan peminat Porsche atau automotif sekalipun wajar untuk menonton filem pendek ini, walaupun untuk sekali. (tapi kami menontonnya berulang-ulang kali!). Ia memberi kami lebih semangat untuk memiliki sebuah Porsche GT3RS!

 

Silalah tonton “The Prince” sentuhan ikonik dari Nakai San!

 

Google ads
Back to top button