Motosikal

KITA DAH ADA JENAMA MOTOSIKAL BAHARU DI MALAYSIA, AVETA

Pasaran motosikal tempatan dikejutkan dengan kehadiran pemain baharu dalam industri permotoran menerusi jenama “AVETA” yang membuat kemunculan secara diam-diam pada November tahun lalu.

Aveta yang dipasar dan dikeluarkan oleh Aveta Global Marketing telah mula menjual dua model asas untuk pasaran tempatan iaitu Aveta DY90 dan Aveta RX110.

Buat masa ini, dua model tersebut menjadi asas kepada Aveta Global Marketing untuk menembusi pasaran tempatan. Difahamkan, lebih 2,000 unit motosikal DY90 dan RX110 telah berjaya dijual sehingga kini.

Kedua-dua model tersebut dipasang sepenuhnya secara pemasangan terurai atau CKD. Aveta dijangka memperkenalkan beberapa buah model baru dalam beberapa bulan akan datang.

Menurut sumber industri, kedua-dua model berkenaan diperkenalkan di pasaran tempatan dalam bulan Mac 2020 yang lalu. Kedua-dua model tersebut menyamai model motosikal yang pernah dikeluarkan oleh sebuah syarikat pemasangan tempatan beberapa tahun dahulu.

Namun ia tidak dapat dipastikan sama ada dua model tersebut adalah sama atau sebaliknya.

Harga jualan bagi model Aveta DY90 ialah RM2,880 tanpa insuran. Ia merupakan  sebuah model kapcai berkapasiti 90cc 4-lejang, silinder tunggal, enjin melintang yang  dipadankan dengan transmisi empat kelajuan berputar.

Aveta DY90 boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu merah, biru dan hitam.

RX110  pula ialah kapcai dengan penampilan lebih sporty. Ia dijual pada harga sekitar RM4,039.20 tanpa insuran.

Jentera tersebut dilengkapi enjin empat lejang satu silinder bersesaran 110cc dengan sistem penyejukan udara dan transmisi empat kelajuan berputar. Kuasa yang dihasilkan adalah sebanyak 7.8hp (5.8kW) @ 7,500rpm dan tork maksimum 7.8Nm @ 6,500rpm.

Aveta RX110 mempunyai kapasiti tangki 4.2 liter, suspensi depan teleskopik, suspensi belakang berkembar (gas, teleskopik), brek cakera pada roda hadapan, brek jenis dram di belakang dan rim aloi 17 inci. Saiz tayar pula ialah 70/90-17 (hadapan) dan 80/90-17 (belakang). Berat bersih motosikal ini ialah 123 kilogram.

Model tersebut tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu merah, hijau dan biru.

Sehingga berita ini ditulis, tiada sebarang pengesahan diperolehi dari pihak AVETA yang dilihat lebih selesa mengunci mulut. Menurut sumber, AVETA begitu terperinci di dalam perancangan mereka, lebih suka low profile dan beroperasi secara diam.

Mungkin belum tiba masa untuk AVETA menonjolkan diri, ibarat pepatah diam-diam ubi berisi.

Google ads
Back to top button