Motosikal

AVETA LANCAR KAPCAI VS110. SASAR JUALAN 5,000 UNIT SEPANJANG 2021, BERMULA RM3,588

Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. (Aveta) secara rasminya memperkenalkan model terbaharu untuk tahun 2021 iaitu Aveta VS110.

Aveta dalam satu kenyataan berkata, pengenalan model terbaru ini adalah antara beberapa model yang telah dirancang untuk diperkenalkan sepanjang tahun 2021.

Justeru, VS110 dilancarkan pada suku pertama tahun ini, sebelum diikuti oleh beberapa model baharu yang dijangka diperkenalkan menerusi varian atau segmen tertentu yang masih belum dapat diumumkan lagi.

VS110 ditawarkan pada harga RM3,588 untuk jualan tunai (di atas jalan termasuk cukai jalan dan insuran).

VS110 ialah model keempat dalam segmen yang sama. Tahun lalu, Aveta sudah memperkenalkan tiga model iaitu DY90, RX110 dan Ranger 110.

Semua model berkenaan dipasang sepenuhnya secara pemasangan terurai (CKD) di kilangnya di Bukit Raja, Klang. Aveta mensasarkan untuk menjual 5,000 unit VS110 sepanjang tahun 2021.

Kapcai itu hadir dalam empat pilihan warna seperti biru cyan, biru, merah dan hitam. Dikuasakan dengan enjin karburator bersesaran 110cc 4 lejang, silinder tunggal dengan sistem penyejukan udara, ia mampu menjana kuasa maksimum 6.5hp pada 8,000rpm dan tork 6.8Nm.

Enjin itu kemudian dipadankan dengan transmisi empat kelajuan. Memiliki berat 83kg, ia dilengkapi tangki berkapasiti 4.0 liter.

Walaupun 110cc, motosikal ini mampu menjana lebih kuasa dan mampu memberi kepuasan kepada penunggang. Ini kerana kuasa enjinnya adalah 113cc jika dibandingkan dengan jenama-jenama lain 110 cc yang ada di pasaran tempatan sekarang.

Selepas lebih setahun beroperasi secara rasmi, penerimaan orang ramai terhadap model-model Aveta nyata cukup menggalakkan. Sehingga kini hampir 5,000 buah motosikal Aveta telah dijual sejak pengenalan model pertama iaitu DY90, RX110 dan Ranger 110 pada Disember lalu.

GALERI

Google ads
Back to top button