Buletin

AWAS DENGAN PENIPU YANG MENYAMAR JADI PENASIHAT JUALAN PERODUA

Berikutan penahanan seorang suspek yang mempunyai kaitan dengan satu kes tipu kenderaan Perodua, Perodua Sales Sdn. Bhd. (Perodua Sales) meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila membuat transaksi pembelian.

Berdasarkan kepada laporan media sebelum ini, polis telah menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai wakil jualan yang menjual kenderaan Perodua di sebuah portal jual beli kenderaan, jenayah itu menyebabkan mangsa kerugian puluhan ribu ringgit. 

“Penipuan itu melibatkan penjualan kereta baharu dan terpakai Perodua. Perodua dan mangsa telah membuat laporan polis. Kami juga memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Perodua ingin menasihatkan pengguna supaya lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales, Dato’ Dr Zahari Husin. 

Zahari menasihatkan orang ramai agar tidak membuat pembayaran ke dalam akaun individu. Ini  kerana prosedur operasi standard memerlukan pembeli membayar kepada Perodua Sales atau pengedar sah Perodua. Mereka juga perlu meminta resit pembayaran.

Harus tahu bahawa kereta-kereta terpakai (POV) yang diiktiraf oleh Perodua hanya dijual di oulet Perodua Kuala Lumpur di  Jalan Pahang.

Perodua POV yang memulakan perniagaan pada Oktober 2017 menawarkan kenderaan terpakai Perodua pada harga mampu milik. Ia telah menerima pemeriksaan 165 poin dan dibaiki oleh Perodua sendiri.

Lebih menarik lagi, kereta itu hadir dengan jaminan lanjutan sehingga 18 bulan untuk enjin dan transmisi.

“Dengan POV, kami kini membuka lebih peluang kepada ramai lagi rakyat Malaysia untuk memiliki kenderaan, tanpa berkompromi dengan isu keselamatan dan kualiti kenderaan,” kata Zahari.

POV kini beroperasi sepenuhnya di bilik pameran baru Perodua Kuala Lumpur yang turut menjual kereta baru Perodua. Sila kunjungi hari ini di Lot 18, Seksyen 86, Jalan Pahang, 53200 Kuala Lumpur.

Google ads
Back to top button