Motosikal

BENELLI LANCAR SUPER MOPED RFS 150i – RM6,988!

Honda RS150 dan Yamaha Y15ZR kini sudah mempunyai pencabar utama apabila Benelli baru sahaja melancarkan moped sports terbaharunya, RFS 150i.

Selain tampil dengan rekaan yang tajam dan sporty, tarikan utama RFS 150i ialah harganya. Jentera itu boleh anda miliki pada harga cuma RM6,988 untuk spesifikasi standard dan RM7,338 bagi Edisi Khas (SE).

Model SE didatangkan dengan warna merah kelabu matte dan beberapa aksesori tambahan. Jika berminat anda perlu menunggu sehingga hujung bulan ini.

Pengedar motosikal Benelli, Mforce Bike Holdings mensasarkan untuk menjual sekitar 1,000 unit RFS 150i sebulan. Manakala sasaran jualan untuk semua model Benelli ialah 2,500 unit sebulan atau lima peratus TIV motosikal pada tahun ini.

RFS yang bermaksud ‘Riders For Speed’ itu dikuasakan oleh enjin empat lejang satu selinder dengan sistem penyejukan cecair berkuasa 15.5hp dan tork 13.0Nm pada 7,000rpm.

Sistem B3SP Benelli ‘3-Spark’ membolehkan enjin RFS 150i menjadi begitu fleksibel. Ia menggunakan ketiga-tiga palam pencucuh, bersama sistem ECU motosikal dan pancitan bahan api.

Ia berfungsi mengubah suai pemasaan enjin dan penggunaan palam pencucuh untuk memaksimumkan kuasa. Selain memastikan enjin dapat beroperasi pada suhu rendah, mengoptimumkan kecekapan bahan api dan mengurangkan emisi. Enjin bersesaran 149cc itu hadir bersama tiga palam pencucuh dan dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Kualiti pengendalian RFS 150i dipertingkatkan dengan penggunaan suspensi fork teleskopik pada roda hadapan dan monoshock untuk roda belakang. Dengan berat 126kg, ia mampu mencatat kelajuan kelajuan 140km/j hingga 150km/j.

Tugas memberhentikan jentera itu diserahkan kepada brek cakera pada kedua-dua roda bersaiz 240mm di hadapan dan 220mm di belakang. Moped itu menggunakan rim bersaiz 17 inci. Saiz tayar pula ialah 70/90-17 di hadapan dan 120/70-17 (belakang).

Dari segi kemudahan, RFS 150i dilengkapi penghidup elektrik. Kluster meter LCD memaparkan pelbagai maklumat penting tunggangan. RFS 150i didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu kuning, merah, biru dan kelabu matte.

Menyentuh tentang strategi pemasaran ke atas motosikal jenama Benelli, Mforce Bike Holdings akan meningkatkan kesedaran jenama menerusi billboard di seluruh negara.

Bagi menambah baik aspek khidmat selepas jualan, Mforce Bike telah melantik lebih daripada 30 pengedar untuk menjadi Stesen Esklusif Benelli (BES). Syarikat itu juga bakal perkenalkan lebih banyak model Benelli untuk memenuhi keperluan pengguna tempatan.

“Kami akan menawarkan harga yang kompetitif untuk model berkuasa tinggi. Mforce Bike Holdings sudah berbincang dengan pihak AEON untuk menawarkan pembiayaan dengan kadar faedah yang menarik iaitu 0.44 peratus sebulan bagi motosikal 500cc ke bawah.

“Ini bagi membolehkan lebih ramai pelanggan memiliki motosikal Benelli,” kata Pengurus Besar Operasi Mforce Bike Holdings, Asri Ahmad.

BACA: BENELLI AKAN LANCAR MOPED MINGGU DEPAN, RSF 150i?

GALERI

Google ads
Back to top button