Motosikal

BSH BUKA KEDAI KONSEP HONDA IMPIAN X PERTAMA DI MALAYSIA

Boon Siew Honda (BSH) hari ini melancarkan pusat jualan konsep Honda Impian X yang pertama di Johor Bahru secara rasmi.

Pusat jualan dan perkhidmatan sehenti yang menampilkan rekaan terkini itu menawarkan model-model motosikal Honda dengan enjin berkuasa sehingga 300cc. Ia dilengkapi pelbagai perkhidmatan bagi memenuhi permintaan yang kian bertambah di negeri ini.

Susulan kejayaan Kedai Impian Honda yang diperkenalkan pada 2010, BSH kini bersedia untuk meningkatkan tahap perniagaannya dengan memperkenalkan Honda Impian X kepada umum. Seterusnya menawarkan pengalaman ruang jualan generasi baru di pasaran.

“Dengan pelancaran Honda Impian X, BSH menjangkakan peningkatan jualan sebanyak 21% dalam tempoh 12 bulan yang akan datang.

“Kami juga amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kami merancang untuk membuka 10 lagi pusat Honda Impian X di seluruh negara menjelang akhir 2018,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Nobuhide Nagata.

Pusat Honda Impian X ini dikendalikan oleh Swee Seng Heng Sdn. Bhd. yang telah menjadi salah satu pengedar sah motosikal Honda di Johor sejak tahun 1990.

“Sebagai pengedar sah Honda sejak lebih 25 tahun lalu, saya amat berbangga kerana dilantik sebagai pengedar Honda Impian X yang pertama di Malaysia. Ruang pameran yang unik ini telah menarik perhatian pelanggan baru mahupun sedia ada, sebelum majlis perasmiannya lagi.

“Dengan sokongan berterusan BSH, saya rasa yakin dan menantikan kejayaan perniagaan masa depan Honda Impian X,” kata Pengarah Urusan Swee Seng Heng Sdn. Bhd., David Ker.  

Pembukaan Honda Impian X yang seterusnya adalah di bawah Hip Seng Motors dan Kin Wah Motors di Perak pada suku pertama tahun ini.

Menyedari keperluan pelanggan yang sentiasa berubah, selain jangkaan dan sikap pasaran yang pelbagai, Honda Impian X direka khusus.

Ia dilengkap pelbagai kemudahan seperti WiFi serta ruang menunggu yang menyajikan makanan dan minuman ringan. Semua ini bertujuan untuk menyediakan keselesaan dan pengalaman terbaik kepada pelanggan.

Melalui pengenalan Honda Impian X, BSH juga mempertingkatkan pengalaman perkhidmatan selepas jualan dengan memperkukuhkan prosedur standard perkhidmatan bengkel.

Pelanggan akan dilayan secara profesional oleh kakitangan perkhidmatan. Mereka  tidak perlu bimbang kerana penyelenggaraan motosikal dilaksanakan menurut garis panduan BSH.

Di Honda Impian X, para pengedar disediakan dengan peralatan lengkap dan teknologi terkini yang dikendalikan oleh kakitangan teknikal terlatih dengan menggunakan alat ganti tulen.

Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan BSH. Justeru, Honda Impian X komited dalam menyediakan khidmat Pre Delivery Safety Advice (PDSA) kepada semua pembeli.

Para pelanggan akan diajar mengenai langkah-langkah keselamatan jalan raya yang penting oleh jurulatih keselamatan di pusat ini semasa proses penyerahan motosikal mereka.

BSH merekodkan jumlah jualan sebanyak 120,613 unit pada 2017, meningkat sebanyak 19 peratus berbanding 2016. Johor menyumbangkan kira-kira 14 peratus daripada jumlah jualan BSH iaitu lebih 16,000 unit . Sekali gus menjadi penyumbang kedua tertinggi jualan syarikat di antara 13 negeri di Malaysia.

Untuk membuat tempahan atau mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kemudahan dan perkhidmatan Honda Impian X, pelanggan boleh menghubungi talian 07-530 0595/07-530 0596, kunjungi premis ini di alamat No 29 & 31, Medan Nusa Perintis 2, Taman Nusa Perintis, 81550 Gelang Patah, Johor atau melayari laman  www.facebook.com/sweesenghengmotorsdnbhd.

GALERI

Google ads
Back to top button