BETUL KE GUNA PETRON BLAZE 100 MOTOSIKAL JADI LEBIH POWER? KAMI UJI SENDIRI UNTUK MENGETAHUI JAWAPANNYA
Walaupun sudah beberapa tahun memiliki dan bertukar motosikal berkuasa tinggi, tidak pernah sekalipun saya menggunakan bahan api yang lebih mahal daripada RON95.
Sama seperti pengguna lain yang sensitif dengan harga, saya tidak berkecuali. Justifikasinya mudah, kenapa perlu membayar harga petrol yang mahal jika anda ada pilihan yang lebih murah?
Persepsi itu kekal sehinggalah saya berpeluang menyertai sesi tunggang uji media Petron Blaze 100 Media Test Ride menuju ke Pulau Pinang baru-baru ini.
Sebenarnya, ini merupakan kali pertama Petron mengadakan sesi untuk menguji bahan api tersebut pada jentera dua roda dengan enjin berkapasiti 500cc ke atas
Saya tidak dapat nafikan bahawa ada media yang skeptikal dengan bagaimana caranya untuk menilai bahan api. Tidak kiralah sama ada dari segi kuasa, penjimatan atau apa sahaja yang mampu ditawarkannya.
Atas sebab itu jugalah program yang berlangsung selama dua hari satu malam itu memerlukan peserta menunggang motosikal sendiri.
Secara logiknya, kita pasti akan lebih mudah untuk merasakan perbezaan berbanding jika hanya menunggang motosikal pinjam dan menggunakannya selama beberapa hari.
Acara tersebut bermula apabila semua tangki 15 buah motosikal pelbagai jenama diisi penuh dengan minyak premium daripada Petron itu. Mula diperkenalkan ke pasaran Malaysia pada tahun 2016, Petron merupakan ialah jenama pertama yang menawarkan bahan api berkuasa tinggi (RON100) kepada pengguna tempatan.
Selepas peserta mendengar ucapan alu-aluan daripada pihak Petron, diberi taklimat keselamatan dan doa perjalanan dibaca, konvoi kemudian dilepaskan oleh Pengurus Pemasaran Petron Malaysia, Danny Chen di Petron MMR2 Selayang.
Saya menunggang Triumph Street Triple R yang jarak perbatuannya masih begitu rendah. Memandangkan ia jarang ditunggang, seingat saya tidak sampai sepuluh kali tangki minyak itu diisi penuh.
Situasi itu sebenarnya cukup ideal kerana menurut Penasihat Teknikal Servis Petron Malaysia, Max Ho, seseorang perlu mengisi tangki motosikal mereka sebanyak lapan kali dengan Petron Blaze RON 100 untuk benar-benar merasai perbezaannya.
Sesi tunggang uji (pergi balik) dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang itu melibatkan perjalanan sejauh hampir 700km. Jujur saya katakan bahawa perbezaan pertama yang saya perasan ialah penjimatan yang ditawarkan oleh bahan api tersebut.
Ini kerana apabila tiba di persinggahan pertama iaitu di R&R Tapah selepas bergerak sejauh 150km, minyak dalam tangki masih berbaki satu pertiga. Dengan kelajuan purata sekitar 140km/j, petrol ini bukan sahaja menjanjikan kuasa, malah menawarkan penjimatan yang agak signifikan.
Sebelum itu, saya perlu jelaskan bahawa aspek penjimatan tidak kiralah sama ada motosikal mahupun kereta, bergantung kepada banyak faktor. Antaranya ialah gaya tunggangan, beban, aerodinamik, jenis kenderaan dan kondisi enjin itu sendiri.
Jadi, jika saya rasa petrol ini jimat, mungkin tidak pada anda yang pastinya menggunakan motosikal dan memiliki gaya tunggangan yang berbeza. Jadi, cara terbaik untuk mengetahuinya, pastilah dengan menguji sendiri Petron Blaze 100 pada motosikal anda.
Saya juga dapat merasakan bahawa enjin lebih responsif dan beroperasi dengan lebih lancar. Terutamanya selepas mengisi minyak untuk kali kedua di stesen minyak Petron di Bercham, Ipoh, Perak.
Memotong kenderaan lain atau memecut terasa begitu mudah, hanya pulas pendikit minyak dan Triumph Street Triple R ini meluru pergi tanpa perlu menurunkan kedudukan gear.
Penjimatan dan kuasa Petron Blaze 100 sebenarnya disumbang oleh formulasi khas yang dikenali sebagai TriAction Advantage. Memenuhi piawaian Euro 4M, bahan api itu diadun dengan sejumlah aditif untuk lebih penjimatan, kuasa dan menawarkan perlindungan enjin.
Harus tahu bahawa bahan api premium itu didatangkan dengan ciri peningkat pembakaran. Maksudnya, ia mampu dibakar secara lebih sempurna, seterusnya membuatkan enjin lebih responsif.
Tugas melindungi enjin pula diserahkan kepada aditif detergen sintetik sepenuhnya. Ia berfungsi menghilangkan deposit kotor yang melekat pada komponen-komponen enjin. Jadi, apabila digabungkan semua faedah ini enjin akan menjadi lebih bersih dan efisyen.
Petron Blaze kini ditawarkan di 71 buah stesen Petron terpilih di seluruh negara. Berdasarkan kepada maklum balas pasaran yang memberangsangkan, jumlah tersebut akan ditambah oleh pihak Petron dari semasa ke semasa.
Terima kasih Petron kerana memberi peluang kepada saya untuk menguji sendiri keupayaan Petron Blaze 100. Nampaknya, bahan api premium itu sekarang sudah mempunyai seorang lagi pelanggan setia yang baru.
GALERI