BREMBO BUKA KILANG DI THAILAND, PERKUAT JENAMA DI ASIA TENGGARA
Jenama aksesori brek terkemuka dunia, Brembo mahu memperkuatkan kehadiran jenama itu di pasaran Asia Tenggara apabila dengan rasminya membuka kilang di Thailand, baru-baru ini.
Menyedari terdapat permintaan tinggi dikalangan penunggang motosikal di Asia Tenggara yang mahukan produk Brembo termasuk ByBre dan J.Juan, syarikat itu telah membuka kilang di daerah Rayong yang terletak di selatan Bangkok.
Menurut laporan, Brembo telah membelanjakan lebih EUR40 juta bagi menjayakan kilang baharu itu termasuk mengupah lebih 150 pekerja. Kilang terbaru itu akan memulakan operasi pada suku pertama 2025.
Difahamkan, fasiliti terbaru Brembo itu memfokuskan dalam menghasilkan sistem brek motosikal bagi pengeluar motosikal yang berada di Thailand antaranya Ducati, Triumph, Harley-Davidson dan BMW.
Brembo dalam satu kenyataan menyebut, “pasaran ASEAN adalah penting kepada inisiatif Brembo dalam memperkembangkan kehadiran jenama itu. Kami mahu mengukuhkan kedudukan dalam segmen dua roda selain memainkan peranan sebagai “Solution Provider” kepada pelanggan kami (pengilang) yang beroperasi di Thailand.”
Untuk rekod, selain Brembo, jenama tayar terkemuka seperti Bridgestone dan Michelin turut memiliki kilang di Thailand.