CFMOTO 675SR LANCAR NOVEMBER INI – RM38,XXX?
Baru-baru ini CFMOTO Malaysia telah pun melancarkan CFMoto 500SR VOOM untuk pasaran tempatan dengan harga jualan rasmi RM35,888.
Pelancaran model ‘sportsbike’ 4-silinder 500cc itu mencetuskan keterujaan pelbagai pihak yang menantikan motosikal dengan pakej lebih berkuasa namun dengan harga yang lebih menarik.
Bagaimanapun, CFMOTO Malaysia bakal menghadirkan keterujaan berganda pada minggu MotoGP Malaysia apabila kami difahamkan bahawa sebuah lagi motosikal serba baharu, CFMoto 675SR akan turut diperkenalkan.
Lebih menarik, rata-rata pengedar rasmi CFMoto di Malaysia telah pun menerima tempahan jentera 3-silinder itu dengan harga jualan RM38,XXX.
Atas kertas, 675SR dikuasakan enjin tiga silinder 674cc 12-valve dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 95hp pada 11,000rpm dan 70Nm pada 8,250rpm. Sekadar perbandingan, Triumph Daytona 675 yang turut dikuasakan enjin tiga silinder 675cc menghasilkan 126hp pada 12,600rpm dan 73Nm pada 11,750rpm.
Ketika 500SR VOOM menawarkan elemen neo-retro, 675SR datang dengan pakej lebih moden dan aerodinamik dengan kehadiran pencahayaan LED penuh, winglet serta ‘brake scoop’ yang membantu menyejukan cakera brek dengan lebih efisien.
Selain itu, model baharu ini turut dilengkapi dengan sistem quickshifter, traction control (dua peringkat) dan ABS dari Bosch secara standard.
Sementara itu, ketika motosikal segmen 600cc rata-rata dipadankan dengan tayar depan berukuran 120, 675SR pula dilengkapi dengan tayar 110/70-17. Namun, kami jangkakan pemasangan tayar bersaiz 120 boleh dilakukan untuk tujuan ‘track day’ kerana 675SR ini dilengkapi dengan ‘lap timer’.
Antara perincian lain ditawarkan termasuk:
- fork depan USD dari KYB boleh laras
- penyerap hentak tunggal dari KYB boleh laras
- kaliper brek depan 4-pot J.Juan dengan cakera 300mm
- kaliper brek belakang 1-pot J.Juan dengan cakera 240mm
- ABS
- tangki bahan api 15L
- berat 185kg
Maklumat rasmi berserta harga penuh akan kami kongsikan sebaik motosikal baharu ini dilancarkan.