Buletin

CONSUMER REPORTS – BMW RAMPAS KEDUDUKAN SUBARU SEBAGAI KERETA TERBAIK

BMW merampas kedudukan tempat pertama daripada Subaru untuk kategori Auto Brand Report Card Rankings meskipun beberapa model BMW versi facelift atau baharu kelihatan sama.

Persaingan tahunan ini dinilai melalui prestasi, keselamatan dan kebolehpercayaan kenderaan berdasarkan ujian bebas serta maklum balas dari pengguna sendiri selain daripada tinjauan pakar.

“BMW membina banyak model berprestasi tinggi, berciri penuh dan boleh dipercayai, jadi tidak hairanlah jika mereka berada di tangga teratas,” kata Pengarah Kanan Ujian Automotif di Consumer Reports, Jake Fisher.

“Tetapi jenama bukan mewah seperti Subaru, Toyota dan Mazda sentiasa berada di kedudukan tinggi sejak beberapa tahun lalu. Ini memastikan pengguna tidak perlu berkorban harta benda untuk mendapatkan kereta berkualiti tinggi.”

Selain BMW, Mini juga mendapat markah yang baik dalam kajian itu, naik sebanyak lima anak tangga untuk berada di kedudukan ketiga. Manakala jenama Asia seperti Lexus, Honda, Toyota, Genesis, Mazda, Audi dan Kia menguasai baki 10 posisi teratas.

Untuk kedudukan pertengahan, Consumer Reports mengiktiraf kebolehpercayaan SUV Corsair dan Nautilus Lincoln sekaligus meletakkan jenama itu berada di kedudukan ke-16, mengalahkan jenama mewah Cadillac (ke-24) serta Mercedes (ke-26).

Ketika jenama mewah British, Jaguar dan Land Rover seakan-akan bergelut untuk berada di kedudukan terbaik, Tesla mencuri perhatian dengan mendapat penilaian lebih tinggi, berjaya mengatasi tiga jenama besar lain termasuk Nissan, Ford serta Chevrolet.

Consumer Reports juga mendedahkan sembilan kenderaan ‘CR Green Choice’ di mana kenderaan hibrid Toyota menjadi pilihan terbaik, walaupun jenama dari Jepun itu begitu lambat menambah kenderaan elektrik sepenuhnya ke dalam barisan pengeluaran. 

Google ads
Back to top button