Buletin

SONY, HONDA DEDAH PROTOTAIP AFEELA. ADA LEBIH 40 CIRI SENSOR, GUNA CASIS DIGITAL SNAPDRAGON QUALCOMM

Sony Jepun telah melancarkan prototaip kenderaan elektrik Afeela baharu yang akan dibina bersama Honda. Perkembangan semasa, Afeela akan menggunakan casis digital ‘Snapdragon’ Qualcomm.

Prototaip yang diumumkan pada pameran perdagangan teknologi CES 2023 di Las Vegas itu menandakan kehadiran Sony dalam pasaran EV yang berkembang pesat.

Menerusi Afeela, Sony dan Honda merancang untuk memanfaatkan kandungan hiburan di dalam kereta serta ciri sensor.

Ketua Eksekutif Sony Honda Mobility, Yashuhide Mizuno memberitahu Afeela yang mempunyai sudut bulat dan bumbung berwarna hitam akan menggunakan lebih 40 sensor.

Ia juga akan menggunakan alat penciptaan 3-D “Unreal Engine” daripada Epic Games, pembuat siri permainan “Fortnite” untuk membantu menggambarkan bukan sahaja hiburan dalam kereta, malah komunikasi dan keselamatan.

Afeela menampilkan keupayaan pemanduan automatik Tahap 3 dalam keadaan terhad. Bermakna, kereta itu boleh memandu dalam situasi seperti kesesakan lalu lintas, tetapi pemandu mesti mengambil alih apabila sistem menuntut untuk berbuat demikian.

Prapesanan pertama Afeela dijadualkan pada separuh pertama 2025 dengan jualan bermula pada tahun yang sama. Penghantaran pertama dijangka pada awal tahun 2026 di Amerika Utara.

Google ads
Back to top button