Motosikal

DUCATI PENANG TAWAR LAYANAN VIP, UNTUNGLAH…

Apakah antara faktor paling penting untuk menjamin kesetiaan pelanggan? Ya betul. Perkhidmatan selepas jualan.

Tidak kiralah sama ada anda jual kereta atau motosikal, kalau perkhidmatan selepas jualan ke laut, nescaya tidak lama lah jenama boleh bertahan dalam pasaran. Tidak kiralah produk yang ditawarkan itu bagus macam mana sekali pun.

Memahami keperluan tersebut, Ducati Penang mula melabur untuk memberi perkhidmatan selepas jualan yang terbaik kepada semua pelanggannya sejak tahun 2014 lagi.

Dikenali sebagai perkhidmatan dari pintu ke pintu, Ducati Penang akan mengambil dan menghantar semula motosikal Ducati pelanggan untuk diservis. Melibatkan kawasan Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak, perkhidmatan itu ditawarkan secara percuma.

“Pengurus jualan kami akan menghubungi pelanggan apabila sudah tiba masa untuk motosikal mereka diservis. Kemudian, kami akan hantar trak ke rumah mereka untuk ambil motosikal, sebelum ia dihantar semula selepas satu minggu.

“Ini merupakan perkhidmatan yang pertama seumpamanya dalam industri jentera dua roda. Inisiatif ini dibuat kerana kami sedar bahawa pelanggan tidak ada masa untuk datang ke bengkel dan menunggu selama satu hingga dua jam ketika motosikal diservis,” jelas Pengarah Ducati Penang, Kheoh Hock Seng yang lebih senang disapa sebagai Seng.

Pada tahun ini, satu lagi program diperkenalkan oleh Ducati Penang. Menurut Seng, program tersebut khas untuk pelanggan yang jarang menunggang motosikal masing-masing. Ini jenis yang beli motor, lepas tu simpan di rumah. Bermula di kawasan Pulau dahulu, Ducati Penang akan menghantar juruteknik ke rumah pelanggan untuk membuat pemeriksaan dan menunggang motosikal tersebut selama beberapa minit.

Langkah ini bagi memastikan pelanggan boleh menunggang motosikal mereka pada bila-bila masa, tanpa perlu berdepan masalah seperti tayar pancit atau bateri flat. Setakat ini, ia mendapat maklum balas yang sangat positif. Ya. Perkhidmatan ini juga ditawarkan secara percuma!

Dalam perkembangan berkaitan, pusat servis Ducati Penang dikendalikan oleh enam orang kakitangan berpengalaman. Mereka terdiri daripada pengurus jualan, penasihat jualan serta dua orang juruteknik senior dan junior. Mereka juga dihantar ke Thailand untuk menjalani latihan dan mempunyai kemahiran yang sewajarnya.

Bagi memastikan tidak timbul masalah kekurangan tenaga kerja, Ducati Penang ada melatih beberapa orang pelajar praktikal atau intern. Sekiranya mampu menepati segala kriteria yang ditetapkan, mereka akan ditawarkan untuk bekerja di sana.

Pusat servis tersebut berupaya menyelenggara sekitar sekitar 90 hingga 110 buah motosikal sebulan dengan 50 peratus adalah daripada program pintu ke pintu.

“Kami perlu ada banyak aktiviti untuk mengeratkan lagi hubungan dengan pelanggan. Selain menyediakan motosikal demo, kami ada menganjurkan program seperti sesi teh tarik pada minggu kedua setiap bulan. Serta sarapan pada minggu keempat setiap bulan.

“Kami juga sedang merancang untuk menganjurkan tunggangan amal melibatkan para pemilik motosikal Ducati dan rumah-rumah kebajikan yang sesuai,” kata Seng lagi.

Menyentuh tentang aspek jualan pula, Seng memberitahu pihaknya mensasarkan jualan sebanyak 100 unit pada tahun ini. Berbanding tahun lepas, sasaran itu dibuat berikutan pelancaran model-model baharu dan lebih menarik pada tahun ini.

Kalau macam ini cara layanan kepada pelanggan, tidak hairanlah jika Ducati Penang sudahpun mencapai sasaran yang telah ditetapkan untuk bulan Januari dan Februari 2017. Terbaiklah!

BACA: DUCATI SUPERSPORT – LANCAR PADA SEPTEMBER, RM80K! 

BACA: TERRACORSA – KISAH PANIGALE JADI MOTOSIKAL OFF-ROAD

GALERI

Google ads
Back to top button