Motosikal

YAMAHA YS125 – GANTI MODEL YBR125 DI PASARAN EROPAH

Sejak sekian lama, motosikal street Yamaha YBR125 memang mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengguna di Eropah.

Dalam tempoh sepuluh tahun, lebih 150,000 jentera tersebut berjaya dijual di sana. Biarpun begitu, memandangkan peraturan emisi yang semakin ketat, Yamaha sedar bahawa sudah tiba masanya untuk YBR125 digantikan dengan model baharu.

Maka, Yamaha baru-baru ini memperkenalkan YS125 yang dibina atas DNA kejayaan YBR125 iaitu mudah dikendalikan, jimat bahan api dan memberi tunggangan selesa.

Perubahan paling ketara ialah enjin SOHC dua injap dengan sistem penyejukan udara bersesaran 125cc. Enjin yang mematuhi piawaian Euro 4 itu menggunakan silinder dengan lejang lebih panjang (57.9mm) dan kepala silinder baharu.

YS125 juga tampil lebih menarik menerusi rekaan lampu utama baru yang diletak di dalam kowling hadapan kompak. Skup udara dan peredam melengkapkan lagi penampilan sporty model street ini.

Penambahbaikan lain termasuklah lampu isyarat membelok, ekzos berwarna hitam dan tangki lebih besar, 14 liter yang membolehkannya bergerak sejauh 321km tanpa sebarang masalah. Pelananya kini 15mm lebih tinggi berbanding model terdahulu.

Aspek keselamatan ditingkatkan dengan sistem brek bersepadu yang hampir sama dengan Sistem Combi-Brake Honda.

YS125 dijangka berada di pasaran pada pertengahan Mac pada harga sekitar £2,799 (RM15,322) seunit. Yamaha juga dijangka menawarkan beberapa aksesori termasuklah skrin sport dan kotak penyimpanan barang berkapasiti 30 liter.

BACA: MASALAH SUIS PENGHIDUP & BRAKET TANGKI, YAMAHA R25 AKAN DIPANGGIL SEMULA

BACA: YAMAHA INDONESIA PERKENAL GRAFIK BARU R25, HARGA NAIK RM85

Google ads
Back to top button