Motosikal

DUCATI SCRAMBLER 1100 DILANCARKAN – 2 VARIAN, BERMULA RM83,000 SEUNIT

Next Bike hari ini melancarkan Ducati Scrambler 1100 pada acara Art Of Speed kali ke-7 yang berlangsung sehingga esok di MAEPS, Serdang, Selangor.

Untuk pasaran Malaysia, jentera itu akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Ducati Scrambler 1100 Special dan Ducati Scrambler 1100 Sport.

Anda boleh memiliki Ducati Scrambler 1100 Special pada harga RM83,000. Manakala Scrambler 1100 Sport pula berharga RM85,000 seunit (di atas jalan).

Pelanggan yang membuat tempahan pada hujung minggu ini sehingga Ducati Reddest Weekend (4-5 Ogos) akan menikmati harga tanpa SST yang istimewa.

Bagi memberikan pengalaman selepas jualan premium kepada pemilik, Ducati menawarkan Program Servis Pintar Ducati. Ia merupakan servis percuma untuk alat ganti selama dua tahun atau perbatuan sehingga 30,000 termasuk servis Desmodromic.

Scrambler 1100 menggunakan khidmat enjin L-twin dua injap yang telah direka semula untuk memberi lebih kuasa dan pengendalian terbaik.

Enjin berkuasa 86hp dan tork 88.4Nm itu dilengkapi sistem Ride by Wire. Dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan, anda boleh mengharapkan tunggangan yang lancar.

Sub kerangka belakang motosikal itu dipisahkan daripada chasis bagi memudahkan proses modifikasi. Lampu utama bulat yang digunakan oleh semua model Ducati Scrambler kini ditingkatkan dengan kemasan aluminium.

Dua panel instrumen digital memaparkan pelbagai maklumat tunggangan. Antaranya ialah takat bahan api, mode tunggangan yang dipilih, speedo, amaran tongkat motosikal dan tahap kawalan cengkaman.

Varian Sport menggunakan suspensi Öhlins dan Kayaba pada varian Special, bersama fork USD 45mm dengan gegelung serta peredam boleh laras.

Jentera itu menggunakan rim sepuluh jejari bersaiz 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang. Rim itu kemudian dibalut dengan tayar Pirelli yang dibangunkan khas untuk Scrambler 1100.

Menyentuh tentang aspek keselamatan pula, Scrambler 1100 dipasang dengan sistem Bosch 9.1 MP Cornering ABS dan Ducati Traction Control (DTC), pertama dalam keluarga Scrambler.

Ducati Scrambler 1100 menawarkan tiga mode tungangan iaitu Active Riding Mode, Journey Riding Mode dan City Riding Mode. Mode tersebut dibezakan menerusi maklum balas pendikit kuasa dan tahap kawalan cengkamannya.

Scrambler 1100 Sport didatangkan dalam warna hitam dengan kemasan kuning pada tangki dan madgad. 

GALERI

Google ads
Back to top button