YAMAHA YZF-R15 SPESIFIKASI MALAYSIA VS INDIA, INI 10 PERBEZAANNYA
Ini persoalan yang banyak kami terima sejak Hong Leong Yamaha melancarkan YZF-R15 semalam. Seperti yang diketahui, Yamaha mempunyai dua versi R15 untuk dua pasaran berbeza. Kedua-duanya masih dikenali sebagai R15 V3.0 yang merujuk kepada kemaskini versi ke 3 R15 sejak dilancarkan pertama kalinya pada 2008.
Perbezaan antara dua spesifikasi ini agak jelas menerusi sepasang suspensi hadapan. Apa yang dirujuk sebagai spesifikasi Indonesia menggunakan suspensi jenis USD (Upsidedown) atau suspensi “terbalik” yang lebih canggih. Sementara spesifikasi India menggunakan suspensi jenis tradisional – teleskopik macam Suzuki Best.
BACA: HLYM LANCARKAN R15. RM12K
Baiklah, tapi bukan itu sahaja perbezaannya. Kerana ramai yang bertanya perbezaan spesifikasi dua benua ini, mari kita tengok 10 perbezaan yang nyata antara R15 V3 versi India dan Malaysia.
1. Penggunaan fork teleskopik berbanding fork terbalik (upside down)
Versi Yamaha R15 India dilengkapi dengan fork teleskopik tradisional dan bukannya fork USD seperti Malaysia/Indonesia. Ia merupakan langkah penjimatan kos terbesar dilakukan Yamaha terhadap model ini. Ssuspensi ini juga memastikan kos dapat dikawal dan pada masa yang sama tidak menjejaskan prestasi motosikal.
2. Tayar MRF sebagai ganti kepada tayar IRC
MRF merupakan tayar jenama tempatan India sekaligus mengurangkan kos produksi. Mengikut kajian Yamaha India, Tak sampai 20 peratus pun pemilik yang akan membawa motosikal mereka ke trek dan di atas jalan raya sebenar tidak ramai akan perasan dan sedar perbezaan antara tayar jenama IRC dan MRF.
Tayar IRC digunakan untuk spesifikasi Indonesia kerana ia diperbuat di Indonesia. Mengikut pengalaman kami yang tak seberapa ni, tayar IRC yang digunakan meluas dalam perlumbaan litar di Indonesia ni antara yang berkualiti dalam kelasnya.
Sekurang-kurangnya nasib baik juga HLYM tak pasang tayar Duro macam Y15ZR. Licin selembut sutera prestasinya.
3. India mendapat tork lebih tinggi
Sedikit pengubahsuaian dilakukan untuk membezakan R15 V3 berbanding R15 V2. Versi Indonesia mempunyai tork maksima 14.7 Nm manakala versi India sedikit lebih tinggi, 15.0 Nm.
Mengejutkan?
Ya. kerana dari segi teori, spesifikasi Indonesia perlu lebih tinggi dari segenap segi. Tidak dapat dipastikan kewajaran perubahan tork dan di manakah perbezaan tersebut berlaku.
Kami percaya, ia adalah berkaitan dengan penalaan kerana jumlah 0.3Nm adalah sangat kecil untuk sebarang perubahan struktur atau komponen sekalipun.
Selain itu, R15 V3 juga merupakan motosikal 150 cc pertama di India yang dilengkapi dengan sistem Assist & Slipper Clutch (ASC).
4. Spec India lebih “tinggi”
Versi India mempunyai kelegaan bumi yang lebih tinggi (170 mm berbanding 155 mm Malaysia). Ia dicapai dengan rekaan semula panel bawah tanpa menjejaskan ketinggian pelana asal.
Adalah dipercayai, ia disesuaikan dengan keadaan jalanraya dan fasiliti di India. Atau mungkin perekanya sudah menganggarkan bahawa R15 India akan dibonceng 13 orang seperti yang lazim anda tonton dalam filem Tamil.
5. Kombinasi warna yang berbeza
Pasaran India ditawarkan dengan warna Thunder Grey dan Racing Blue manakala pasaran Indonesia pula menerima pilihan warna Matte Black, Matte Red dan kombinasi Racing Blue yang berbeza.
Sementara itu, pasaran Malaysia mendapat warna Hitam, Merah dan kuning.
6. Saiz cakera brek belakang
Nah, ini juga mungkin ramai yang tak sedar. Motosikal spec India menggunakan cakera bersaiz 220 mm di belakang. Ia lebih kecil daripada model Indonesia/Malaysia (240 mm).
Dipercayai ia membantu mengurangkan kos kerana komponen ini sudahpun dikeluarkan secara besar-besaran.
7. Pemijak kaki pembonceng
Nampak kecil tetapi masih lagi mempunyai perbezaan. Versi India menggunakan komponen daripada logam dengan kemasan hitam berbanding versi Indonesia/Malaysia dengan komponen aluminium.
Lebih menjimatkan dan warga India pun tak kisah sebab mereka mungkin akan memijak ekzos juga. Ye lah, kau dah naik sampai 5 orang naik pijak mana? perut member?
8. Rekaan mudguard hadapan yang berbeza
Memang terdapat perbezaan pada rekaan mudguard antara kedua model ini tetapi ia sedikit pun tidak menjejaskan prestasi. Mungkin juga ia faktor kos tapi rasanya macam kecil sangat bezanya.
Kalau diperhatikan dengan teliti, bahagian sisi mudguard hadapan versi Indonesia/Malaysia sedikit “labuh” untuk memberi perlindungan kepada fork jenis USD.
9. Pelindung tayar belakang (Hugger)
Jalan-jalan di India memang lebih mencabar dan berlumpur berbanding Indonesia jadi Yamaha memutuskan untuk melengkapkan R15 V3 baru mereka ini dengan pelindung tayar bagi menghalang lumpur dari melekat pada tayar.
Jadi tiada masalah untuk meredah lecak, lumpur mahupun bergotong royong di dalam sawah padi misalnya.
10. Spesifikasi India 2KG lebih berat
R15 versi India (139kg) adalah 2 kilogram lebih berat berbanding versi Malaysia (137kg). Tapi macam kami cakap tadi, ramai mana sangat yang nak bawa motor ni masuk berlumba dalam trek di India.
Nah, di bawah adalah perbezaan yang antara kedua spesifikasi yang kami “bold” kan
Bersyukurlah Malaysia dapat spec Indonesia…
Perbezaaan Spesifikasi Teknikal R15 V3 India dan Malaysia
R15 V3 India | R15 V3 Malaysia | |
Sesaran | 155.1 cc VVA | 155.1 cc VVA |
Transmisi | 6-kelajuan | 6-kelajuan |
Jumlah selinder | 1 | 1 |
Kuasa maksima | 19.03 HP @ 10,000 RPM | 19.03 HP @ 10,000 RPM |
Tork maksima | 15.0 Nm @ 8,500 RPM | 14.7 Nm @ 8,500 RPM |
Sistem sejukan | Sejukan cecair | Sejukan cecair |
Harga | RM7,400.00 | RM11,988.00 |
Dimensi dan Berat
R15 V3 India | R15 V3 Malaysia | |
Panjang | 1990 mm | 1990 mm |
Lebar | 725 mm | 725 mm |
Tinggi | 1135 mm | 1135 mm |
Jarak tapak roda | 1325 mm | 1325 mm |
Kelegaan bumi | 170 mm | 160 mm |
Tinggi pelana | 815 mm | 830 mm |
Berat keseluruhan | 139 kg | 137 kg |
Brek dan suspensi
R15 V3 India | R15 V3 Malaysia | |
Brek depan | Cakera 282 mm | Cakera 282 mm |
Brek belakang | Cakera 220 mm | Cakera 240 mm |
Suspensi depan | Fork teleskopik | Fork USD |
Suspensi belakang | Monoshock | Monoshock |
ABS | Tiada | Tiada |