
SANTA FE KINI BOLEH DITEMPAH
Mulai sekarang, pengedar kenderaan jenama Hyundai di Malaysia, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) akan menerima tempahan untuk model terbaharunya, Santa Fe yang dijadual diperkenalkan kepada umum pada hujung bulan ini.
Pengarah Urusan HSDM, Lau Yit Mun memberitahu, para pelanggan yang berminat boleh mengunjungi mana-mana bilik pameran Hyundai untuk membuat tempahan. Sekali gus menjadi antara yang terawal menerima SUV berkenaan.
Harga jualanya dijangka bermula pada RM159,000 (tidak termasuk cukai jalan dan premium insurans), Santa Fe disifatkan sebagai kereta premium moden dalam setiap segi. Malah ia telah meletakkan satu penanda aras baharu dari segi kemewahan dan keselesaan dalam kelasnya.
Santa Fe mengetengahkan konsep rekaan baharu iaitu Storm Edge yang memaparkan imej dinamik dan sangat terperinci. Jentera berkapasiti tujuh tempat duduk ini turut menawarkan ruang kabin yang moden dan mewah. Ia boleh dilihat dengan jelas pada papan pemuka dan konsol tengah yang kemasannya setaraf dengan sedan mewah.
“Selain penggunaan material berkualiti tinggi pada keseluruhan kabin serta pilihan upholsteri kulit sepenuhnya, model baharu ini juga menampilkan sistem keselamatan tercanggih yang ideal untuk golongan berkeluarga,” jelas Lau.
Pakej keselamatan itu termasuklah Vehicle Stability Management (VSM) System, Electronic Stability Programme (EPS), Hillstart Assist Control (HAC), Downhill Brake Control (DBC), Traction Control System (TCS) dan Brake Assist System (BAS).
Santa Fe hadir dalam dua varian iaitu Elegance dan Executive. Ia menggunakan khidmat enjin diesel R 2.2 E-VGT dan enjin petrol Theta II MPI bersesaran 2.4 liter.
Antara ciri menarik yang ada pada Santa Fe ialah bumbung suria, lampu utama HID, perakam pemanduan selamat, sensor hujan, Flex Steer dan parking brek elektrik (Electric Parking Brake, EPB). Spesifikasi penuh akan didedahkan pada majlis pelancaran nanti.
Orang ramai boleh melihat Santa Fe secara dekat sewaktu siri jelajah Hyundai di Gurney Plaza, Pulau Pinang (13 – 16 Jun), 1 Utama, Lembah Klang (19-23 Jun) and KSL City Mall, Johor Bahru (21-23 Jun). maklumat lanjut mengenao siri jelajah boleh didapati di laman web: www.hyundai.com.my.
Sejak pelancaran model pertamanya pada tahun 2000, Santa Fe terbukti sebagai sebuah kenderaan yang praktikal dengan jualan mencecah 2.5 juta unit di seluruh dunia.
HSDM yakin Santa Fe mampu menarik minat lebih ramai pengguna kepada jenama Hyundai. Untuk ketenangan fikiran, HSDM menawarkan pelanggannya jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 300,000km bersama jaminan lanjutan yang meliputi sebarang pembaikan atau kos tidak diduga berikutan kecacatan pengilangan.

















