Buletin

EKSEKUTIF KANAN UMUM LETAK JAWATAN, SAHAM NISSAN MERUDUM

Saham Nissan jatuh hampir 2.8 peratus selepas pengeluar kenderaan Jepun itu mengumumkan ekskutif kanannya bakal meletak jawatan.

Naib Ketua Operasi Nissan, Jun Seki memberitahu agensi berita bahawa beliau merancang untuk menyertai Nidec Corp. sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Operasi.  

Nissan dalam satu kenyataan mengakui Seki ada menyatakan hasratnya untuk meletak jawatan. Nidec bagaimanapun enggan memberi sebarang komen. Ini memang tahun yang cukup sukar buat Nissan.

Syarikat itu dilihat terus bergelut untuk pulih selepas skandal Carlos Ghosn tahun lalu yang mengeruhkan hubungan pakatan Nissan dengan Renault dan Mitsubishi.

Nissan turut mengumumkan kerugian demi kerugian, selain mengumumkan rancangan untuk menghentikan 12,500 pekerja di seluruh dunia. Bulan lalu, Nissan mengurangkan sasaran jualannnya dan menjangka menjual kurang kenderaan untuk tahun fiskal yang berakhir pada Mac 2020.

Laporan perletakan jawatan Seki timbul hanya selepas dua bulan Nissan melantik Ketua Pegawai Eksekutif yang baru. Makoto Uchida mengambil peranan itu setelah Hiroto Saikawa meletak jawatan.

Saikawa sebelum itu mengaku dia dan beberapa orang eksekutif lain menerima bayaran berlebihan sebagai pelan pembayaran berkaitan saham.   

Bloomberg menyifatkan Seki sebagai salah seorang calon kanan untuk menggantikan Saikawa sebelum Uchida dipilih. Seki juga menafikan dia meletak jawatan kerana masalah yang dihadapi oleh pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi.  

kredit foto: autoblog.com

Google ads
Back to top button