Buletin

FIVE PETROLEUM MASUK INDUSTRI RUNCIT PETROL NEGARA

Five Petroleum Malaysia Sdn. Bhd., syarikat minyak baharu di Malaysia secara rasmi mengumumkan kemasukannya dalam industri runcit petrol tempatan.

Pengerusi, Datuk Juhari Abdul Ghani berkata syarikat itu memperoleh lesen operasi daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 15 Januari lalu dan mewujudkan stesen minyak pertama pada 7 Mac, 2020 di Selangor.

“Awal tahun ini, Five merancang pembangunannya setelah memperoleh lesen tersebut ketika pandemik Covid-19 mula menular. Five memperlahankan rancangan pengembangan itu bagi mematuhi peraturan tempatan.

“Bagaimanapun, kami tidak pernah berhenti daripada mencatatkan kemajuan untuk memastikan kami menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik kepada pengguna,” katanya.

Beliau menjelaskan visi syarikat adalah mengembangkan Five sebagai jenama tempatan paling kompetitif dan memiliki masa depan yang cerah di Malaysia.

Selain itu, Juhari menambah, mengenal pasti lokasi paling sesuai di negara ini bagi tujuan pewujudan stesen minyak sehenti moden, berteknologi tinggi dan memberi pengalaman terbaik kepada rakyat Malaysia semasa mereka membuat isian semula bahan api mereka juga menjadi visi Five.

“Berikutan faktor seperti kepadatan penduduk, lokasi, kegiatan ekonomi dan sumber, jenama runcit petrol jarang mempertimbangkan kawasan luar bandar sebagai lokasi untuk stesen minyak mereka. Atas sebab ini, mereka yang tinggal di kawasan terpencil sering kekurangan bekalan petrol.

“Five diasaskan untuk mengatasi masalah ini. Kami berharap dapat mewujudkan lebih banyak stesen minyak di lebih banyak kawasan. Jadi, penduduk di luar bandar dapat menikmati teknologi dan kemudahan yang ditawarkan oleh Five,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Five, Datuk Seri Dr King Lim Chin Fui berkata sebagai penyokong pendigitalan di Malaysia, Five juga akan melengkapkan setiap stesen minyak dengan kecerdasan buatan (AI) dan kemudahan digital, seperti pengecaman plat kenderaan. – Bernama

Google ads
Back to top button