Modifikasi

GARANG SUBARU IMPREZA WRX STi VERSION 2

Berita yang mungkin paling mengejutkan para peminat kereta dunia adalah apabila Mitsubishi mengumumkan model Evolution akan ditamatkan produksi pada tahun 2015.

Melalui pengunduran Mitsubishi dalam menghasilkan kereta rali jalanan berprestasi tinggi, maka tinggallah Subaru dengan model Impreza tanpa dicabar oleh sesiapa.

Kalau disingkap sejarah kereta rali jalanan, Subaru dan Mitsubishi telah lama bersaing di litar rali dan jalan raya untuk mahkota kereta rali jalanan terunggul.

Bermula sejak zaman Subaru Legacy bersaing dengan Galant VR4, kedua-dua pengeluar kereta dari Jepun ni dah mula bersaing untuk menghasilkan jentera yang terbaik.

Persaingan mereka di litar rali memberikan pemandu biasa akses kepada teknologi rali dunia di dalam kereta mereka seperti sistem pacuan empat roda, enjin berkuasa turbo dan gajet-gajet elektronik yang canggih.

Beza di antara model Impreza dan Evolution adalah dari segi jumlah produksinya. Subaru mengeluarkan model Impreza secara produksi penuh. Manakala Mitsubishi lebih gemar mengeluarkan model Evolution dalam bentuk produksi berkala.

Ini membuatkan lebih banyak model Impreza dijumpai di atas jalan raya berbanding  model Evolution, terutama untuk model terawal versi 1 hingga 6 mereka.

Subaru Impreza WRX STi Version 2 ialah antara model terawal versi STi keluaran Subaru. Model ini dikeluarkan ketika Mitsubishi melancarkan model Evo III. Versi STi  mampu menghasilkan kuasa sehingga 275hp, lebih sikit daripada model Evo III yang hanya menjana 270hp.

Pemilik Subaru klasik ini ialah Syed Mohd. Fadly yang amat beruntung sebab berjaya memiliki sebuah Impreza yang terjaga dengan baik. Enjin EJ20DET yang dibekalkan  sejak tahun 1995 hampir tidak terusik. Segala-galanya masih dalam keadaan yang hampir standard.

Ubah suai yang dilakukan pada enjin ini ialah penggantian penapis udara asal kepada jenis pod terbuka dan pemasangan injap blow-off daripada Turbosmart.

Bunyi deruman enjin boxer yang membuat ramai orang jatuh hati pada kereta ini sememangnya perlu dikuatkan lagi. Apa barang pandu Subaru tapi bunyi macam itik serati?

Oleh itu, Syed mengubah suai set ekzos custom yang diperbuat daripada keluli tahan karat berdiameter 3 inci yang bersambung kepada downpipe standard STi. Peredam bunyi yang digunakan ialah Blitz Nur Spec R.

Kotak transmisi dikekalkan standard, kecuali klac asal diganti dengan klac jenis perlumbaan HKS. Selain daripada enjin, Subaru Tecnica International (STi) banyak mengubah suai sistem gantungan yang membuatkan model-model STi mampu dikawal dengan lebih baik berbanding WRX standard.

Sama juga halnya dengan kereta ini. Kalau anda tengok bahagian bawah kereta, pasti akan nampak barang-barang macam lower arm, rack end dan strut bar yang semuanya ada cop STi. Penyerap hentak asal Impreza ini pun ada cop STi dan berwarna merah hati – identiti barang olahan STi.

Untuk Impreza ini, semua penyerap hentak asal diganti dengan penyerap hentak boleh laras sepenuhnya daripada Cusco Zero 2. Penyerap hentak ni bekerjasama rapat dengan semua aksesori STi yang saya sebut tadi bagi memberikan pengendalian terbaik di atas jalanraya.

Satu lagi aksesori yang membezakan model WRX dengan STi ialah sistem breknya. Untuk model STi Version 2, sistem brek yang digunakan ialah dari jenis 4 pot di depan dan 2 pot kat belakang yang semuanya dihasilkan sendiri oleh Subaru.

Bagi melengkapkan aksesori pengendalian Subaru ini, semua rim asal STi berwarna emas diganti dengan rim Sagita 17 inci yang dibalut dengan tayar bersaiz 235/45/17.

Untuk aksesori pula, Impreza ini sudah disalin dengan bodykit asli Impreza STi Version V. Ia nampak lebih garang berbanding bodykit asal Version 2 yang macam tak ada beza langsung dengan bodykit WRX normal. Impreza ini kemudiannya dihias dengan stiker custom dan dicat bersama kombinasi warna putih dan biru gelap.

Pada bahagian kabin, tiada ubah suai ekstrem dibuat. Semua aksesori asli STi boleh ditemui dalam keadaan cukup baik. Aksesori tambahan ialah sebuah speed meter Pivot yang membuang speed cut daripada ECU dan turbo timer A’PEXi.

Dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh, terima kasih kepada suntikan dana daripada Toyota, kami pasti nama Impreza dan logo STi akan terus dihasilkan selagi masih ada permintaan daripada peminat-peminatnya.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button