Motosikal

HAFIZH SYAHRIN KEKAL DENGAN PASUKAN TECH 3 UNTUK MUSIM 2019 – BAKAL GUNA JENTERA KTM

Pasukan Monster Yamaha Tech 3 mengumumkan bahawa pelumba negara, Hafizh Syahrin akan terus bersama pasukan itu untuk mengharung musim MotoGP 2019.

Pelumba itu telah pun menandatangani kontrak selama setahun bersama pasukan pimpinan Herve Poncharal yang menyaksikan beliau akan menggunakan jentera KTM.

Walaupun ‘lewat’ dipanggil untuk menyertai kelas perlumbaan perdana MotoGP bagi musim 2018, pelumba berusia 24 tahun itu nyata mempamerkan prestasi cemerlang di Litar Qatar apabila memperoleh mata pertamanya di sana.

Di litar Argentina pula, Syahrin sekali lagi memberikan tunggangan meyakinkan dengan menempatkan diri dalam kelompok 10 pelumba terpantas. Selain menjadi pelumba baru terbaik dalam perlumbaan kedua menggunakan jentera Tech 3.

“Sukar untuk saya komen dan percaya dengan perkembangan ini. Pertama, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Herve atas kepercayaan beliau dan memberi saya peluang untuk kekal bersama keluarga Tech 3. Pada masa yang sama menyertai keluarga KTM.

“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pengurus, Dato’ Razlan yang membantu saya mencapai cita-cita untuk bersaing dalam MotoGP. Saya janji akan bekerja keras dan lebih bersedia untuk musim hadapan,” kata Hafizh.

Poncharal menyifatkan hari ini sebagai satu hari yang istimewa. “Sejak Hafizh menunggang jentera kami, ia seakan-akan mimpi kerana dia sangat laju dan lebih laju daripada yang segelintir orang bayangkan.

“Saya tahu, menjadi pelumba pertama negara bersaing dalam MotoGP memang satu pencapaian yang hebat,” komen Poncharal.

Hafizh akan menyertai Johann Zarco, Pol Espargaro (Red Bull KTM Factory Racing) dan Miguel Oliviera (Red Bull KTM Ajo) yang turut menggunakan jentera KTM RC16 2019.

Google ads
Back to top button