Motosikal

BOSS KTM TECH3 TIDAK MAHU LEPASKAN OLIVEIRA KE PASUKAN FACTORY KTM

Sejak Johann Zarco mengumumkan hasrat untuk meninggalkan pasukan factory KTM pada penghujung musim ini, timbul persoalan besar siapakah yang akan menggantikannya kelak.

Dengan kebanyakan penunggang bintang sudah menandatangani kontrak masing-masing, timbul khabar angin KTM akan memilih rookie pasukan KTM Tech3, Miguel Oliveira.

Pelumba Portugal itu dilihat sebagai pilihan terbaik dan sudahpun mempunyai kontrak langsung dengan KTM. Tetapi, jika Oliveira pergi ke pasukan factory, kesannya mungkin lebih besar.

Ini kerana pasukan KTM Tech3 sudah menjangkakan barisan pelumba terbaik untuk musim 2020 menerusi penyertaan Brad Binder yang akan menggantikan Hafizh Syahrin.  

“Saya sangat teruja dan bangga kerana mempunyai barisan pelumba yang hebat tahun depan dengan Miguel Olivera dan Brad Binder. Mereka berdua pernah menjadi rakan sepasukan sebelum ini dan menghormati satu sama lain.

“Mereka juga akan bersaing untuk jadi yang terbaik. Tetapi, tiba-tiba Zarco buat pengumuman,” kata bos KTM Tech3, Herve Poncharal.  

Sejak itu, Poncharal mengaku ditanya beribu kali tentang masa depan Oliveira. Apatah lagi pelumba itu nampaknya semakin bagus dan menjadi kedua terbaik di KTM.    

“Saya bagitahu pihak pengurusan KTM, saya mahu Oliveira kekal di Tech3. Mereka jawab tiada perancangan untuk ambil dia. Memandangkan semua orang bertanya, saya minta mereka nyatakan dalam bentuk bertulis. Jawapan mereka tetap sama, tiada perancangan untuk ambil Oliveira.

“Tetapi, sekarang baru Ogos, masih banyak yang boleh berubah! Apa pun saya akan cuba untuk kekalkan mereka berdua di sini,” tegas Poncharal.

Ketika KT masih ada tiga bulan sebelum bermulanya sesi ujian 2020 di Valencia, Poncharal mendapati dia perlu mencari pelumba baru secepat mungkin.

Dan itu bukan tugas yang mudah…

Google ads
Back to top button