Motosikal

HONDA CB1000R 2018 – MAMPU MEMECUT SEHINGGA 228KM/J, RM74,999 SEUNIT 

Selain Honda CB250R, Boon Siew Honda (BSH) turut melancarkan model cafe racer atau naked dengan enjin berkapasiti lebih besar iaitu CB1000R di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.

BACA: CAFE RACER HONDA CB250R – KINI ANDA BOLEH MILIKINYA PADA HARGA RM22,999 SAHAJA!

Kalau anda ingat, model ini sebenarnya pernah membuat penampilan di Malaysia Autoshow 2018 baru-baru ini.

Jentera naked itu ditawarkan pada harga RM74,999 seunit serta didatangkan dalam dua warna iaitu merah dan hitam. Menurut Honda, CB1000R  telah dikemas kini untuk merapatkan jurang antara prestasi dengan motosikal berkonsepkan cafe racer.

CB1000R menggunakan khidmat enjin empat silinder bersesaran 998cc yang dibina dengan susun atur sama seperti motosikal berkuasa tinggi CBR1000RR. Nisbah gear jentera itu juga dikurangkan untuk memberikan pecutan yang lebih pantas.

Mampu menghasilkan kuasa 143.4hp dan tork 104Nm, CB1000R boleh memecut sehingga 228km/j. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan dan klac bantuan untuk memastikan penukaran gear yang lebih lancar.

Bagi menawarkan nota bunyi yang sedap didengar dan meningkatkan kuasa tork, motosikal itu menggunakan sistem ekzos baharu 4-2-1 yang lebih ringan.

Mengaplikasikan teknologi Throttle by Wire, penunggang boleh memilih empat mode tunggangan iaitu STANDARD, SPORT, RAIN dan USER, selain padanan ciri brek enjin dan Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Personaliti moden klasik CB1000R diserlahkan menerusi lampu utama LED berbentuk bulat dan mudguard belakang yang dipasang pada lengan ayun tunggal.

Jentera ini dijangka mula berada di pasaran pada Julai. Selain harga yang menarik, ia hadir bersaa jaminan kilang selama dua tahun atau perbatuan sejauh 20,000km (mana-mana tiba dahulu).

Google ads
Back to top button