Motosikal

HONDA CRF250L & CRF250 RALLY 2017 – BERMULA RM24,378 SEUNIT

Boon Siew Honda (BSH) hari ini mengumumkan kebolehdapatan model CRF250L dan CRF250 Rally 2017 serba baharu di pasaran tempatan.

Motosikal pengembaraan ringan itu pasti dapat memenuhi keperluan mereka yang mahukan sebuah jentera untuk ditunggang di atas jalan raya biasa dan off-road. Selain praktikal untuk kegunaan harian.

CRF250L

Dilancarkan pada tahun 2012 di pasaran seluruh dunia termasuk Malaysia, ia nyata popular dalam kalangan penunggang berpengalaman. Jentera itu juga berjaya menarik minat demografik pengguna lebih muda kepada Honda. Kebanyakan mereka menggunakannya sebagai alternatif yang lebih bergaya berbanding skuter.

Dengan gayaan yang diambil secara terus daripada jentera CRF250R, CRF250L bersedia untuk mengharung apa jua laluan.

CRF250L dijana oleh enjin DOHC silinder tunggal penyejuk cecair 249cc dengan kuasa tork pada rpm rendah. Mematuhi standard EURO4, ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 18.2kW dan tork puncak 22.6Nm.

Aci pengimbang utama mengurangkan getaran. Manakala kotak gear enam kelajuan serta klac direka untuk menahan tekanan tambahan ketika menunggang di jalan off-road. Tangki minyak 7.8L (termasuk simpanan 1.8L) menawarkan jarak perjalanan sekitar 33.3km/l atau lebih 250km.

Rangka CRF250L dibina daripada keluli tahan lasak. Rekaan badannya nampak minimalis seperti model CRF450R MX untuk penampilan yang kemas dan tirus. Pemuka digital dengan takometer, meter minyak, brek ABS dua saluran dengan pilihan untuk menutup ABS brek belakang hadir sebagai ciri sebagai standard.

CRF250L tampil dengan warna perlumbaan Honda iaitu merah. Di samping kemasan hitam dan putih yang diinspirasikan daripada jentera HRC.

CRF250 RALLY

CRF250 Rally dengan moto “Weekend Adventure ialah motosikal dual purpose yang memenuhi piawaian Euro4.

Model 250cc itu dibina di atas CRF250L dan menerima beberapa penambahbaikan unik. Penampilannya mengambil inspirasi jentera perlumbaan CRF450 RALLY. Bahagian depan, paparan, fairing dan penutup radiator memberi perlindungan daripada angin. Manakala bahagian lain memaparkan gaya MX yang ringkas.

Lampu depan bersaiz kompak dengan dwi-LED asimetrik. Manakala lampu belakang, lampu isyarat LED dan braket nombor plat tampil ringkas.

CRF250 RALLY dikuasakan oleh enjin DOHC dengan sistem penyejukan cecair. Ia mampu menjana maksimum 18.2kW dan tork 22.6Nm pada 6,750rpm.

Tangki minyak yang besar iaitu 10.1L (termasuk simpanan 1.6L) membolehkannya bergerak sejauh lebih 320km. Ia mempunyai jarak kelegaan tanah setinggi 270mm (lebih 15mm berbanding CRF250L) dengan berat 157kg.

CRF250L dan CRF250 Rally akan berada di pengedar Honda mulai hari ini (28 Ogos 2017). CRF250L ditawarkan pada harga RM24,378 dan CRF250 RALLY pula berharga RM28,618 (OTR, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan yuran pendaftaran).

Ia juga hadir dengan jaminan pengilang selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000km (mana-mana tiba dahulu).

Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook kami: www.facebook.com/HondaMotorcyclesMalaysiaBoonSiewHonda atau hubungi talian Bebas Tol 1800-88-3993

GALERI

Google ads
Back to top button