Buletin

HONDA HANYA AKAN JUAL MODEL EV DAN HIBRID DI EROPAH MULAI TAHUN 2023

Honda dilapor tidak lagi menawarkan model dengan enjin pembakaran dalaman sama ada petrol atau diesel untuk pasaran Eropah menjelang hujung tahun 2022. 

Perkara itu disahkan sendiri oleh Naib Presiden Kanan Honda Eropah, Ian Howells.

“Rangkaian model yang akan ditawarkan oleh Honda akan terdiri oleh kenderaan elektrik dan hibrid. Sudah tentu, jika piawaian dan undang-undang tidak lagi memihak kepada jentera hibrid pada tahun 2035, kami juga akan meninggalkan teknologi tersebut,” katanya. 

Howells menegaskan bahawa Honda percaya terhadap pendekatakan yang pelbagai dalam usaha mengurangkan kesan karbon.

Terdapat beberapa tenaga alternatif yang boleh dikembangkan seperti jisim bio, hidrogen, bahan api konvensional dan bateri. 

Walaupun Honda menyokong penghasilan kereta elektrik, namun kosnya yang tinggi membuatkan ia bukanlah penyelesaian pantas untuk mengurangkan emisi. EV adalah satu pertiga atau 50 peratus lebih mahal berbanding kereta biasa atau hibrid. 

Jadi, Honda melihat kenderaan hibrid mampu menawarkan jalan penyelesaian yang efektif sebelum beralih sepenuhnya kepada EV. 

Biarpun begitu, Howells sedar tentang limitasi teknologi hibrid. “Kami melihat hibrid sebagai penghubung kepada teknologi bateri dan infrastruktur sebelum kedua-duanya matang untuk dijadikan sebagai mobiliti massa,” katanya. 

Google ads
Back to top button