Motosikal

HONDA LANCAR SKUTER CLICK 150i & 125i DI THAILAND

A.P. Honda hari ini melancarkan dua model skuter terbaharunya di pasaran Thailand, Honda Click 150i dan Honda Click 125i.

Sebagai salah sebuah pasaran motosikal automatik yang besar dan terus berkembang, Honda dilihat semakin mengukuhkan kedudukannya di Thailand selepas 30 tahun menggunakan konsep “WHAT STOPS YOU?”.

Honda Click 150i dan Honda Click 125i dikatakan dapat memenuhi kehendak pelanggan terhadap kuasa, praktikal dan tunggangan yang selesa.

“Pelancaran ini akan mengukuhkan lagi jenama Click yang kini dikuasakan oleh enjin eSP 150cc dengan sistem penyejukan cecair,” kata Naib Presiden A.P. Honda, Suchart Arunsaengroj.

Honda Click 150i yang dikatakan skuter paling berkuasa di Thailand dijana oleh enjin 150cc eSP dengan single-overhead camshaft dan sistem penyejukan cecair binaan dalam yang unik.

Jentera itu juga menawarkan kuasa yang efisien, ringan, tunggangan fleksibel dan jimat. Skuter baharu itu dipasang dengan lampu LED, kunci pintar Honda yang boleh mengesan lokasi motosikal dan satu ciri baru menghalang kecurian.

Meter digital baharu memaparkan pelbagai maklumat penting tunggangan seperti takat bahan api, masa, peringatan menukar minyak enjin dan tahap bateri. Untuk memberikan gayaan yang lebih sporty, lampu isyarat membelok dan mudguard dipisahkan.

Honda Click 150i turut dipasang dengan angkup brek berwarna merah, peredam dan brek cakera yang telah direka semula, rim aloi sport dan tayar lebar. Ia didatangkan dalam tiga warna iaitu kelabu, merah-hitam dan kelabu-hitam dengan harga bermula 60,200 baht (RM7,500) seunit.

Honda Click 125i yang dikuasakan oleh enjin 125cc eSP hadir bersama lampu utama berbentuk bulat dan lampu belakang LED dan meter paparan digital. Ruang kargo di bawah tempat duduk boleh menyimpan topi keledar muka penuh tanpa sebarang masalah.

Varian dengan rim lidi didatangkan dalam warna merah-hitam, hitam, hitam-putih dan ditawarkan pada harga 54,700 baht (RM6,782). Sementara varian yang dipasang rim jejari berharga 51,000 baht (RM6327) dengan pilihan warna biru-hitam serta oren-hitam.

Google ads
Back to top button