
HONDA NAVI – 100 PERATUS BUATAN INDIA
Honda Motorcycle and Scooter India (HMSI) memperkenalkan Honda Navi ke pasaran tempatan. Jentera tersebut didatangkan dengan lima warna pilihan pada harga bermula INR 39,500 (RM2,500).
Mensasarkan kepada pengguna muda, dimensi jentera berkenaan ialah 1, 805mm panjang, 748mm (lebar) , 1,039mm (tinggi) dan 1, 286mm (jarak roda).
Honda Navi mudah dikendalikan dengan kelegaan tanah 156mm, tinggi pelana (765mm) dan berat 101kg.
Soal mekanikal, Navi dikuasakan enjin 110cc silinder tunggal. Enjin tersebut turut dilengkapi dengan Honda Eco Technology (HET).
Ia berupaya menghasilkan kuasa 7.83hp @ 7,000rpm dan tork 8.96Nm @ 5,500rpm bersama transmisi V-tramic. Kelajuan maksimum mampu dicapai ialah 81km/j.
Tunggangan kukuh dan selesa disokong dengan rangka Under Born Type. Melengkapkan pengalaman tunggangan itu ialah suspensi teleskopik di hadapan dan jenis spring loaded hidraulik di belakangnya.
Keyakinan membrek diserahkan kepada brek dram 130mm pada bahagian hadapan dan belakang. Cengkaman permukaan jalan ditugaskan kepada tayar bersaiz 90/90-12 (hadapan) dan 90/100-10 (belakang).
Model Navi merupakan motosikal sulung yang dibangunkan sepenuhnya oleh Penyelidikan dan Pembangunan Honda di India. Lebih menarik, pelanggan di India boleh menempah model Navi menerusi aplikasi android.
Foto: indianautosblog