Motosikal

HONDA REBEL & X-ADV TERIMA WARNA BAHARU UNTUK TAHUN 2019

Boon Siew Honda menyambut ketibaan tahun baru 2019 dengan pengenalan warna menarik untuk model Honda Rebel dan Honda X-ADV.

Warna-warna baru itu dilihat dapat meningkatkan lagi estatik reka bentuk kedua-dua model tersebut.

Honda Rebel

Melakukan debut di pasaran Malaysia pada tahun 2017, Honda Rebel menjadi model pilihan buat mereka yang inginkan sebuah cruiser. Jentera ini boleh anda miliki pada harga RM32,299 seunit (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan yuran pendaftaran).

Rebel yang dijana oleh enjin dua selinder selari bersesaran 471cc menawarkan tunggangan lancar, bersama maklum balas pendikit yang linear.

Karekter tunggangannya nyata sepadan dengan gayaan bobber yang ditampilkannya. Para penunggang tidak perlu kekok kerana rekaan chasis menawarkan posisi tunggangan yang rendah, relas dan membantu mengurangkan kepenatan.

Keselesaan tunggangan dapat dicapai menerusi penggunaan penyerap hentak Showa dengan dua tetap pra-bebanan.

Rebel kini didatangkan dengan dua pilihan warna baharu iaitu kelabu metalik dan kelabu mutiara. Warna sedia ada seperti hitam graphite dan merah dikekalkan. Dua warna baharu itu akan mula berada di semua cawangan Honda Big Wing mulai Disember 2018.

Honda X-ADV

Honda X – ADV akan menerima warna baharu perak metalik untuk tahun 2019, di samping dua warna sedia ada iaitu merah dan perak.

Warna perak metalik itu dilihat dapat menyerlahkan lagi gayaan rugged X-ADV. Skuter adventure ini dipasang dengan rim lidi bersaiz 17 inci yang mampu menempuh apa jua laluan sukar.

Cermin utama boleh diubah untuk perlindungan terbaik. Sementara sistem kunci Honda SMART memberi lebih kemudahan kepada penunggang.

X-ADV ditawarkan pada harga RM63,299 seunit untuk warna standard dan RM65,499 bagi warna istimewa (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan yuran pendaftaran).

Sama seperti Rebel, warna baharu X-ADV itu akan mula berada di semua cawangan Honda Big Wing mulai Disember 2018.

Google ads
Back to top button