Motosikal

HONDA SAH GUGURKAN DANI PEDROSA UNTUK MUSIM 2019 – SIAPA AKAN GANTI BELIAU?

Selepas 18 tahun bersama mengharung tiga kelas dalam MotoGP, Honda dilapor telah memberitahu pelumba pasukan Honda HRC, Dani Pedrosa bahawa khidmatnya tidak lagi diperlukan untuk saingan MotoGP musim 2019.

Sama ada kita sedar atau tidak, Pedrosa telah menggunakan jentera Honda sepanjang kerjayanya dalam MotoGp sejak tahun 2006. Namun, prestasi terumbang ambing yang dipamerkan sepanjang musim 2018 membuatkan Honda tidak lagi mahu menyambung kontraknya.

Penamatan kontrak itu dibuat secara persetujuan bersama. Sejak menyertai Pasukan Repsol Honda, Pedrosa telah mencatat 31 kemenangan dan menduduki tempat kedua sebanyak tiga kali.

Pencapaian itu menjadikannya sebagai pelumba yang paling banyak menduduki podium selepas Valentino Rossi dan Giacomo Agostini.

Biarpun bergitu, Pada musim ini, Pedrosa hanya berada di kedudukan ke-12, jauh ditinggalkan oleh rakan sepasukan, Marc Marquez. Beliau juga dikatakan menunggu untuk disambung kontrak sejak awal musim lagi.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada HRC atas kejayaan dikecapi bersama selama ini. HRC sentiasa dekat di hati saya. Dalam hidup, kita semua perlukan cabaran. Saya rasa sekarang ialah masa terbaik untuk membuat perubahan. Terima kasih HRC,” kata Pedrosa

Persoalan sekarang, siapakah yang akan menggantikan Pedrosa? Antara pilihan utama ialah pelumba pasukan Tech3 Yamaha, Johann Zarco yang dilapor berminat untuk menyertai pasukan KTM.

Honda juga dikatakan cuba merisik juara Moto3 dan pelumba baru Moto2, Joan Mir. Tetapi Mir didakwa akan menandatangani kontrak dengan pasukan Suzuki untuk masuk ke gelanggang MotoGP.

Calon seterusnya ialah juara di Litar Mugello minggu lalu, Jorge Lorenzo. Walaupun sudah timbul khabar angin usaha untuk memancing Jorge oleh pasukan satelit yang disokong Petronas, namun pelawaan daripada Honda mungkin akan dipertimbangkan oleh Jorge.

Marquez dikhabarkan tidak menghalang pasukannya untuk melamar Jorge kerana beliau hanya mahukan rakan pasukan yang bagus dan laju.  

kredit foto: motogp.com 

Google ads
Back to top button