Buletin

HONDA UMUM TARIK DIRI DARI FORMULA 1 PADA PENGHUJUNG MUSIM 2021

Honda membuat pengumuman mengejutkan menarik diri dari perlumbaan Formula 1 (F1) sebagai pembekal pada penghujung musim 2021.

Pengeluar Jepun itu mengambil langkah tersebut untuk memberi tumpuan dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi sel bahan api serta kenderaan elektrik (EV).

Ia merupakan sebahagian daripada perancangan syarikat terbabit mewujudkan neutrality karbon menjelang tahun 2050.

 “Honda perlu menyalurkan sumber koporatnya dalam penyelidikan dan pembangunan ke bidang teknologi masa hadapan merangkumi unit tenaga dan teknologi tenaga.

“Ia termasuk teknologi kenderaan sel bahan bakar (FCV) dan bateri EV (BEV) yang akan menjadi teras teknologi bebas karbon,” kata kenyataan syarikat itu.

Honda akan menamatkan pembabitan dalam perlumbaan F1 pada penghujung 2021 yang merupakan tahun akhir peraturan teknikal semasa bagi sukan pemotoran itu.

Begitupun, masih belum jelas pembekal enjin bakal menggantikan Honda di Red Bull Racing dan Scuderia Alpha Tauri.

Buat masa ini, kedua pasukan mempunyai tiga pilihan sama ada ingin mendapatkan enjin daripada Mercedes-AMG, Ferrari dan Renault.

Ferrari dan Mercedes-AMG kemungkinan besar tidak akan menjalin kerjasama dengan dua pasukan tersebut sekali gus menjadikan Renault sebagai pilihan tunggal.

Kita perlu tunggu sehingga penghujung musim 2021 nanti siapa menjadi pilihan dua pasukan ini.

“Sebagai satu pasukan, kami memahami betapa sukar Honda Motor Company membuat keputusan mengundurkan diri dari F1 pada akhir musim 2021.

“Walaupun, agak kecewa tidak dapat meneruskan kerjasama dengan Honda tetapi tetap berbangga kerana dapat meraih kejayaan bersama termasuk lima kemenangan dan 15 podium untuk kedua-dua pasukan dimiliki Red Bull,” kata Prinsipal Pasukan Red Bull, Christian Horner.- agensi

Google ads
Back to top button