Buletin

PROTON TERUS CATAT PENINGKATAN DALAM JUALAN

Jualan Proton Holdings Bhd. (Proton) meningkat dari  bulan Ogos ke September apabila syarikat automotif nasional itu mencapai keputusan positif bagi kadar jualan tahun ke tahun untuk bulan keempat  berturut-turut.

Tiga model Proton mencatatkan jualan tertinggi untuk segmen masing-masing, sama seperti bulan Ogos.

SUV terlaris di Malaysia, Proton X70, tmencatat jualan sebanyak 2,849 unit, prestasi jualan yang kedua terbaik dalam tahun 2020.

Proton Persona (2,606) dan Proton Exora (748) juga kekal sebagai model terlaris dalam kelas masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton EDAR, Roslan Abdullah berkata jumlah jualan pada bulan September adalah sebanyak 11,935 unit, ia adalah kedua tertinggi bagi tahun 2020 bersamaan dengan penambahan 4.9 peratus berbanding bulan Ogos dan 33.6 peratus berbanding pada bulan yang sama pada tahun 2019.

“Proton telah menjual sebanyak 73,607 unit kenderaan pada tahun ini, bersamaan dengan pegangan pasaran sebanyak 21.6 peratus dan menduduki tempat kedua dalam industri automotif Malaysia,” kata Proton dalam satu kenyataan.

Beliau menambah Proton X50 adalah model terbaharu yang dihasilkan di kilang pengeluaran baharu di Tanjung Malim pada 15 September dan tempahan mula diterima pada hari berikutnya.

Setakat ini, katanya, dalam masa dua minggu selepas tempahan mula ditrerima, jumlah tempahan telah melebihi jangkaan.

“Selepas jualan keseluruhan industri (TIV) melebihi 50,000 unit untuk tiga bulan berturut-turut, kami boleh membuat anggapan bahawa pasaran automotif Malaysia berada dalam keadaan stabil ketika ini.

“Proton merasa lega kerana pencapaian jualan bulanan ini melebihi jumlah jualan bulanan pada tahun lepas dan ini adalah penunjuk bahawa kita telah kembali ke tahap penjualan yang lestari,” katanya.

Google ads
Back to top button