HONDA WAVE 110 ALPHA – RM4,132 SAHAJA!
Tahukah anda bahawa jualan motosikal merudum sehingga 28 peratus sejak GST diimplementasikan ke atas semua produk dan perkhidmatan?
Ya. Itulah realitinya, kita boleh semak semula harga sebelum dan selepas GST. Ternyata pasaran motosikal yang telah dikenakan duti eksais, dikenakan pula cukai jualan dan perkhidmatan. Pusing ikut mana pun harganya tetap akan naik.
Pengeluar dan pemasang motosikal tempatan merasakan kesan terus terhadap industri ini. Dengan jualan yang merudum, mereka terpaksa mempelbagaikan produk agar ia mampu dicapai oleh segenap lapisan pengguna.
Boon Siew Honda nampaknya mengambil tindakan pantas dengan memberi pilihan baru kepada pengguna menerusi model Honda Wave 110 Alpha baru.
Enjin satu silinder empat lejang bersesaran 109.1cc ini telah dikemas kini berbanding versi terdahulu. Masih menggunakan sistem nyalaan CDI dan karburetor, bahagian injap silindernya telah ditrim semula.
Kemasukan bahan api ke karburetor juga telah ditala semula untuk mendapatkan pembakaran yang lebih tepat. Walaupun bukan perubahan yang besar, namun ia tetap memberi kesan signifikan terhadap daya pecutan 0-200m underbone ini.
Reka bentuk Wave Alpha lebih sporty dengan sudut sisi yang tirus dan ‘kepala’ tajam ke depan. Semua lampu membelok telah dipisahkan daripada badan demi mengikut regulasi ECE. Tetapi bahagian depan tu memang nampak pelik sikit. Di bahagian ‘dada’ fairing depan ialah sebuah lampu sokongan kecil yang dihidupkan bersama lampu utama.
Wave Alpha ialah model gantian Wave yang memang merupakan moped mampu milik Honda. Lebih menarik lagi, variannya direndahkan untuk memastikan harga yang berdaya saing. RM4,132.94 bagi versi rim lidi dan brek gelendong serta RM4,556.94 untuk model rim sport dengan brek cakera hadapan.
Harga tersebut termasuk GST. Ia semakin menghampiri wilayah harga Sym Bonus dan Modenas MR1.
Hari ini, kalau nak cari motosikal jenama Jepun lingkungan RM4,000 memang payah. Dengan jenama dan kualiti yang terbukti, Boon Siew Honda nampaknya mendengar kata pasaran underbone murah boleh diharap dan hanya akan rosak jika berlaku perang nuklear. Kipidap Honda!