
HONDA WAVE DASH FI
Boon Siew Honda Sdn. Bhd. memperkenalkan Honda Wave Dash FI ke pasaran tempatan. Model tersebut merupakan generasi ketiga.
Wave Dash kini dilengkapi dengan teknologi pancitan bahan api menggantikan sistem karburator sebelumnya.
Menerusi enjin 110cc, jentera moped berkenaan mampu menghasilkan kuasa 6.25kw @ 7,500rpm dan tork 8.42Nm @ 6,000rpm. Penghantaran kuasa lancar ke roda dibantu transmisi 4-kelajuan.
Enjin Wave Dash FI dilengkapi dengan teknologi PGM-FI. Teknologi tersebut menawarkan pembakaran bahan api yang lebih baik dan cekap tanpa mengorbankan kuasa pecutan.
Teknologi itu diprogramkan menggunakan sistem kawalan elektronik yang mana enjin hanya memerlukan nisbah udara api yang minimum.
Hasilnya, ia mampu menawarkan pretasi mesra alam dan kualiti tunggangan lebih baik.
Pihak Boon Siew Honda menyatakan kuasa roda belakang Wave Dash FI adalah 5 peratus lebih tinggi berbanding Wave Dash.
Pecutan dari sifar ke 200m mampu dicapai dalam tempoh 13.5 saat. Berbanding model Wave Dash dengan catatan 13.7 saat.
Selain imej grafik baharu, perubahan paling ketara ialah rekaan lampu isyarat membelok hadapan yang lebih besar. Di bahagian belakang, rekaan lampu juga tampil berbeza. Dipadankan dengan lampu isyarat membelok yang mengikuti standard regulasi Eropah.
Wave Dash FI turut dilengkapi dengan plat pelindung haba kemasan krom baharu untuk meningkatkan keselamatan.
Tangki bahan api juga dipertingkatkan menjadi empat liter berbanding model sebelumnya.
Wave Dash FI didatangkan dengan tiga varian iaitu S, R dan Edisi Repsol. Versi R dan Edisi Repsol didatangkan dengan brek cakera di hadapan dan belakang. Sementara varian S dilengkapi dengan brek dram di belakang dan brek cakera di hadapan.
Berat juga berbeza. Varian S memiliki berat 102kg dan varian Dash R ialah 104kg.
Harga jualan Wave Dash S ialah RM 5,299, Wave Dash R (RM5,549) dan Wave Dash R Edisi Repsol (RM5,699). Kesemua harga tidak termasuk GST.