Buletin

HYUNDAI TUCSON 2022 MAKIN RADIKAL, ELEGAN

Pengeluar kereta, Hyundai melancarkan model terbaharu Tucson 2021 secara alam maya selepas beberapa teaser menarik perhatian orang ramai.

Crossover generasi keempat ini menampilkan rekaan lebih radikal dan elegan berbanding model terdahulu.

Selain itu, model terbaharu ini menawarkan evolusi pengeluar dari Korea Selatan dengan bahasa rekaan Sensuous Sportiness.

Ia dilengkapi gril hadapan baharu dan diselaraskan bersama lampu depan dikenali sebagai Parametric Hidden Lights.

Apa yang menarik tentang ciri terbaharu itu adalah ia dapat menyembunyikan lampu utama LED apabila tidak digunakan sekali gus menyerlahkan lagi rekaan terkini jentera kompak ini.

Rekaan moden dan bersegi yang menampilkan sisi garang Tucson terus diperlihatkan di bahagian luaran termasuk arca roda, garisan badan dan rim.

Di bahagian belakang pula, ia didatangkan dengan rekaan lampu utama baharu, wiper belakang yang tersembunyi di bawah spoiler, logo Hyundai pada kaca belakang, pakej bampar dan diffuser agresif.

Bukan sahaja bahagian luaran tetapi kabin turut mendapat sentuhan baharu dalam memberi kelainan kepada Tuscon baharu ini.

Papan pemuka terkini kelihatan seperti air terjun, skrin sesentuh infotainmen bersaiz 10.25 inci, skrin kluster digital di bahagian pemandu dan kawalan iklim yang menggunakan sistem digital.

Hyundai turut meninggalkan rekaan tombol dan butang tradisional yang digunakan untuk sistem penghawa dingin serta haba dalam model terdahulu.

Selain itu, model terbaharu ini turut dilengkapi sistem pencahayaan ambien dengan pilihan 64 warna dan 10 tahap kecerahan. Ia menawarkan tempat duduk baris kedua yang boleh dilipat dan menampung barang sehingga 1,095 liter.

Ia didatangkan bersama teknologi Near Field Communication (NFC) membolehkan pemilik mengunci, menyahkunci, serta menghidupkan enjin dan kawalan iklim dari jarak 27 meter.

Di Amerika Syarikat, jentera baharu ini ditawarkan dengan warna seperti putih (White Cream), hitam (Phantom Black),  perak (Shimmering Silver), kelabu (Nocturne Gray, Amazon Gray), merah (Flame Red) dan biru (Intense Blue).

Hyundai Tucson didatangkan dengan pilihan enjin empat silinder 2.5 liter yang menjana kuasa 187 hp dan tork 247 Nm dengan transmisi automatik lapan kelajuan.

Ia turut ditawarkan enjin turbo 1.6 liter dengan sistem hibrid dan plug-in hybrid  dengan output mencecah sehingga 227 hp dan tork 350 Nm.

Hyundai mengesahkan jualan terbaharu Tucson bermula di Korea Selatan pada September ini sebagai model 2021.

Pasaran Amerika Syarikat dan pasaran global pula akan dikenali sebagai model 2022 menjelang separuh pertama tahun hadapan. -carscoops

Google ads
Back to top button