Buletin

HYUNDAI PASANG KERETA ELEKTRIK DI SINGAPURA BERMULA 2022

Hyundai Motor Co. bakal mengilang kenderaan elektrik di Singapura bermula tahun 2022.

Memetik laporan Straits Time, pengeluar kenderaan dari Korea Selatan itu akan menghasilkan sebanyak 30,000 kereta elektrik setahun di kilang di republik berkenaan.

Kenderaan pertama yang bakal dihasilkan ialah crossover kompak Ioniq 3. Pembinaan kilang seluas 310,389 kaki persegi dijangka bermula pada Oktober selepas tertangguh akibat penularan wabak COVID-19.

Baru-baru ini, Hyundai menyatakan rancangannya untuk memperkenalkan barisan kenderaan elektrik baharu. Ia turut mensasarkan penguasaan pasaran sebanyak 10 peratus dalam segmen itu dalam tempoh lima tahun.

Hyundai dijadual melancarkan tiga model EV di bawah jenama Ioniq mulai awal tahun 2021 sehingga 2024 dengan sasaran jualan satu juta unit menjelang tahun 2025.  

Ia juga memberitahu sedang membina sebuah pusat inovasi di Singapura dalam usaha membangun serta menguji teknologi melibatkan seluruh rantaian bekalan automotif.

Ini termasuklah menguji proses pengilangan EV. Pembinaan kemudahan itu dijangka siap pada separuh kedua tahun 2022.  

Sebelum ini, pengeluar vakum dan pengering rambut Dyson Ltd. membatalkan projek menghasilkan EV di Singapura selepas mendapati ia tidak memberi keuntungan. – Bloomberg

Google ads
Back to top button